Lelaki OKU hilang sejak seminggu lalu
TEMERLOH - Dengan hanya beberapa hari menjelang Ramadan, seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) masih belum ditemui sejak dilaporkan hilang pada Jumaat lalu.
Mohd Shahidan Mohd Yusoh, 35 dari Batu 4, Jalan Maran itu yang mengalami masalah mental dipercayai hilang dengan menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5, no plat CCG 8566 pada hari kejadian.
Dia juga dikatakan keluar tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, telefon bimbit dan hanya membawa duit RM5.
Adiknya, Siti Norsalimi, 29 memberitahu, ini kali pertama abangnya yang juga anak ke-6 daripada 13 beradik hilang dalam tempoh lama.
Menurutnya, abangnya itu pernah hilang beberapa kali namun berjaya ditemui atau pulang sendiri ke rumah.
"Ibu beritahu pada tengahari Jumaat lalu, abang minta duit untuk membeli rokok dan kemudian keluar begitu sahaja.
"Pada mulanya kami fikir mungkin abang akan balik namun sebaliknya dan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh Isnin lalu," katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.
Katanya, abangnya seorang pendiam dan berfizikal berisi dan berkulit gelap mengalami penyakit itu sejak remaja.
"Cuma malam tadi ada maklumat menyatakan kali terakhir abang ditemui di sebuah bengkel kenderaaan di Batu Balai, Jerantut," jelasnya mereka sedang berusaha mengesan abangnya di lokasi terbabit.
Orang ramai yang ingin membantu dan memiliki maklumat boleh menghubungi Ahmad Radhi di talian 010-8984608.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!