Mahkamah Syariah Perlis bicara kes cerai secara tertutup
KANGAR - Mahkamah Syariah di Perlis akan melaksanakan sesi perbicaraan secara tertutup membabitkan kes perceraian bermula Julai ini.
Istana Arau dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat melalui arahan Ketua Hakim Syarie Negeri Perlis, Jaidi Ahmad setelah dipersembah maklum dan diperkenankan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah berkenan agar perbicaraan secara tertutup dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) bermula 1 Julai 2023.
Titah perkenan itu dizahirkan ketika Program Forum Safar Ilmu MAIPs bersempena cerapan Rukyah Hilal Awal Zulhijjah 1444 Hijrah anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis di Masjid Al Hussain Kuala Perlis pada Ahad.
Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat adalah bagi menjaga aib pihak-pihak yang terlibat terutamanya melibatkan kes yang mendedahkan keaiban peribadi selain bagi mengelakkan unsur "ghibah” dan boleh membawa kepada fitnah.
Ketua Hakim Syarie negeri, Jaidi Ahmad dalam kenyataan sama berkata, pelaksanaan berkenaan dibuat hasil penelitian terhadap amalan yang dilaksanakan di Doha, Qatar.
Sementara itu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Islam menegaskan kewajipan menutup aib peribadi seseorang yang tidak boleh diketahui dan diulas oleh pihak lain untuk dimanipulasikan.
"Masyarakat sering membuat penilaian sendiri tentang hubungan rumah tangga orang lain tanpa memahami situasi yang sebenarnya, padahal tiada kepentingan untuk mereka ambil tahu atau memberi komentar,” katanya dalam kenyataan sama. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!