Tular video gantung sepanduk gesa tukar guru besar

Tangkap layar dari video Nur Farahin memuat naik rakaman video secara langsung pada malam Ahad.
Tangkap layar dari video Nur Farahin memuat naik rakaman video secara langsung pada malam Ahad.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Tular satu video di halaman Warga Kuantan Official berhubung tindakan sekumpulan ibu bapa yang menggantung sepanduk di sebuah sekolah rendah di Pekan bagi menggesa guru besar sekolah terbabit ditukarkan segera.

Video yang berdurasi 24.33 minit itu yang dimuat naik pengguna akaun Facebook dikenali Nur Farahin pada malam Ahad.

Rakaman terbabit mendapat 503 tontonan setakat jam 10.44 pagi, Isnin dan seramai 16 individu berkongsi dengan 17 komen ditinggalkan oleh pengguna laman sosial itu.

Beberapa agensi terlibat seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan turut ditandakan dalam hantaran video tersebut.

Dalam video berkenaan, Nur Farahin memberitahu tindakan itu diambil selepas mengesyaki guru besar di sekolah tersebut didakwa telah menyalah guna kuasanya.

Dia turut mendakwa guru besar sekolah anaknya itu enggan memberi penjelasan secara terperinci kepada ibu bapa mengenai penggunaan duit Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang berjumlah hampir RM30,000.

"Kami ibu bapa hanya mampu berbuat begini sahaja (menaikkan sepanduk), YB (Yang Berhormat) boleh melihat kesungguhan ibu bapa demi anak-anak," katanya menerusi video terbabit.

Ketika dihubungi, katanya, tindakan mencurigakan itu telah disuarakan para ibu bapa dalam mesyuarat PIBG sekolah terbabit baru-baru ini, namun ia tidak diendahkan guru besar tersebut.

Dalam pada itu, Sinar Harian turut cuba mendapatkan butiran lanjut daripada PPD Pekan berkaitan isu ini.

Bagaimanapun, Pegawai PPD Pekan, Mohd Razali Mustafar enggan mengulas lanjut.

"Saya serahkan kepada pihak JPN untuk tindakan selanjutnya," katanya ringkas ketika dihubungi pada Isnin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!