Semak dahulu status halal hotel sebelum berbuka puasa

Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman
Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman
A
A
A

GEORGETOWN - Umat Islam dinasihatkan agar menyemak terlebih dahulu status halal hotel-hotel yang menawarkan pakej berbuka puasa berbentuk bufet sempena Ramadan ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, orang ramai boleh menyemak senarai hotel yang mendapat pengiktirafan sijil halal dari Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) melalui laman sesawang http://www.halal.gov.my.

Menurutnya, semakan itu bagi membolehkan umat Islam mengelak daripada membeli pakej berbuka puasa dari hotel yang tidak mempunyai sijil halal yang sah.

"Saya telah memantau senarai pemegang sijil halal yang sah bagi hotel-hotel di Pulau Pinang. Sempena Ramadan ini, banyak hotel menawarkan pakej bufet berbuka puasa atas nama 'Buffet Ramadan'.

"Bagi mengelakkan kekeliruan, saya nasihatkan umat Islam menyemak terlebih dahulu status halal hotel yang menawarkan 'Buffet Ramadan'," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan hotel yang tidak mendapat pengiktirafan sijil halal agar tidak mengelirukan umat Islam dengan menawarkan pakej berbuka puasa berkenaan.

"Hotel yang tidak mempunyai sijil halal yang sah dari JAINPP dinasihatkan agar tidak mengelirukan umat Islam kerana perkataan 'Ramadan' dan 'puasa' adalah merujuk kepada ibadat yang diamalkan umat Islam.

"Saya berharap dengan pengumuman ini akan dapat memberi gambaran yang lebih jelas agar umat Islam dapat menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan dengan tenang selain menikmati berbuka puasa yang halal dan toyyibah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!