Verstappen hadiahkan Red Bull kemenangan ke-100
JUARA dunia, Max Verstappen melebarkan status pendahulu perlumbaan apabila menjuarai Formula Satu (F1) di Grand Prix Kanada pada Ahad, sekali gus menghadiahkan Red Bull kemenangan ke-100.
Kemenangan pelumba berusia 25 tahun dari Belanda itu yang memulakan perlumbaan dari petak pertama di Litar Gilles Villeneuve, menyamai rekod kemenangan 41 kali jagoan dari Brazil, mendiang Ayrton Senna.
Dalam pada itu, Fernando Alonso menduduki tempat kedua untuk Aston Martin, podium keenam pelumba dari Sepanyol tersebut dalam lapan perlumbaan dengan juara dunia tujuh kali dari Britain, Lewis Hamilton memandu Mercedes ketiga.
Hamilton diikuti rapat dua wakil Ferrari, dengan Charles Leclerc menduduki tempat keempat dan Carlos Sainz di tempat kelima.
Sebagai rekod, Red Bull memenangi setiap perlumbaan setakat musim ini, dan GP Kanada merupakan kemenangan Verstappen yang keenam dalam kempen dan keempat berturut-turut F1.
"Sejujurnya kegembiraan hari ini apabila memenangi Grand Prix ke-100 untuk pasukan Red Bull merupakan sesuatu yang agak luar biasa.
"Saya tidak pernah menjangkakan untuk berada dalam nombor seperti ini, namun kami komited terus menikmati dan bekerja keras tetapi hari ini adalah hari yang hebat," kata Verstappen.
Namun di sebalik kejayaan Red Bull melakar kemenangan penting, ia juga bukan hari yang sempurna untuk pasukan berikutan prestasi bawah par berterusan pelumba dari Mexico, Sergio Perez apabila gagal menaiki podium untuk perlumbaan ketiga berturut-turut.
Selepas usaha kelayakan yang lemah yang menyaksikan dia bermula di tempat ke-12, Perez naik untuk menduduki tempat keenam dan mengambil mata bonus untuk pusingan terpantas.
Walaupun bergelut baru-baru ini, Perez kekal di tempat kedua dalam kedudukan pemandu, namun ketinggalan 69 mata di belakang Verstappen yang mendahului dengan 195 mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!