Acryl Sani bersara awal sebagai Ketua Polis Negara
KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani akan menamatkan kontraknya lebih awal iaitu pada Julai ini.
Sebelum ini, kontrak beliau disambung untuk tempoh dua tahun yang berkuat kuasa pada 4 Oktober 2021 hingga 3 Oktober ini.
Acryl Sani berkata, beliau akan mengundurkan diri dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada minggu pertama Julai ini.
"Keputusan ini dibuat disebabkan ada tawaran di luar sana (luar pasukan PDRM) yang perlu saya terima pada masa ini," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Acryl Sani bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut mengenai tawaran diterimanya sebaik menamatkan tugas sebagai Ketua Polis Negara.
Sementara itu, berdasarkan maklumat sumber, Acryl Sani bakal dilantik menerajui sebuah syarikat perbankan milik kerajaan dalam masa terdekat.
Langkah Acryl Sani untuk bersara lebih awal dapat dilihat apabila juruiring rasminya sebelum ini dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields.
Setakat ini nama bakal pengganti Acryl Sani belum dapat dipastikan.
Desas desus siapa bakal menggantikan tempat pemimpin nombor satu PDRM itu antaranya Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan bekas Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Ramli Din.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!