Jangan main isu agama, kaum ketika berkempen PRN - Sultan Selangor
KLANG - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan calon pilihan raya dan penyokong agar tidak memainkan isu berkaitan agama, kaum dan isu sensitif lain yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan rakyat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan kelak.
Baginda berpesan supaya setiap kempen pilihan raya dijalankan dengan cara berhemah dan bertanggungjawab dengan mematuhi undang-undang pilihan raya sedia ada serta undang-undang lain yang berkaitan.
"Calon dan penyokong juga diingatkan tidak mencaci, menabur fitnah dan mengadu domba terhadap pihak lawan ketika berkempen bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan rakyat,” titah baginda ketika Istiadat Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Balai Dewan Diraja Istana Alam Shah, di sini pada Isnin.
Sultan Selangor menjelaskan istiadat berkenaan diadakan lebih awal, hari ini memandangkan baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin akan berangkat menunaikan ibadah haji esok dan dijangka kembali ke tanah air selepas menunaikan ibadah haji pada 4 Julai ini.
"Maka oleh yang demikian, Beta dalam menjalankan kuasa diberikan di bawah Fasal (2) Perkara 70 Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan setelah berunding dan menerima permintaan pembubaran DUN Selangor dari Menteri Besar, telah berkenan menandatangani Proklamasi Pembubaran Dewan Negeri Selangor hari ini dan akan berkuat kuasa pada hari Jumaat 23 Jun,” titah baginda.
Dalam masa sama, Sultan Sharafuddin berharap semua pihak dapat mendoakan agar ALLAH mempermudahkan segala urusan baginda berdua ketika menjalankan ibadah haji dan memperoleh haji yang mabrur.
Susulan perkenan Sultan Sharafuddin itu, ia menyaksikan DUN Selangor yang diterajui PH dibubarkan dua hari lebih awal daripada mandat yang sepatutnya tamat pada 25 Jun ini.
Persidangan DUN Selangor yang pertama adalah pada 26 Jun 2018, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018.
Selain Selangor, lima lagi negeri akan berhadapan dengan PRN tahun ini, iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Sementara itu, Sultan Selangor juga memaklumkan bahawa pada 28 Julai nanti, baginda akan berangkat ke London untuk menjalani rawatan dan pembedahan Holmium Laser Enucleation of the Prostate (HoLEP) yang akan diketuai oleh Dr Tev Aho.
"Beta menjangkakan akan kembali ke tanah air pada 15 Ogos 2023. Sekiranya kesihatan Beta mengizinkan, Beta akan berangkat balik lebih awal daripada tarikh berkenaan,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin juga berharap pada sekalian yang hadir dapat mendoakan kesihatan dan kesejahteraan baginda ketika menjalani rawatan itu nanti agar kembali sembuh seperti sediakala bagi membolehkan baginda menjalankan tugas. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!