Fadhil tunai janji sambar emas
![Fadhil ditemui pemberita sejurus memenangi pingat emas acara 1km ITT elit lelaki ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai sebentar tadi.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2023/06/19/2236884.jpg)
PELUMBA negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis mengotakan janjinya apabila menyambar pingat emas acara 1 kilometer (km) ujian masa individu (ITT) elit lelaki Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 sebentar tadi.
Fadhil yang muncul pelumba terakhir berkayuh pada saingan final di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan, berjaya merekodkan catatan masa 1 minit 00.559 saat (s).
Catatan itu sudah cukup buat Fadhil mengetepikan dua pencabar terdekatnya - Laitonjam Ronaldo dari India (1:00.863s) dan pelumba Korea Selatan, Woorim Choi (1:01.541s).
Kejayaan Fadhil itu menyaksikan dia mengikut jejak langkah Mohd Edrus Yunus yang kali terakhir menyumbang emas buat Malaysia dalam acara tersebut pada edisi 2012 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras.
Untuk rekod, pelumba kelahiran Selangor berusia 25 tahun itu sebelum ini memenangi pingat perak acara 1km ITT elit di pentas ACC pada edisi 2020 dan 2022.
Pada edisi 2020 di Jincheon, Korea Selatan, Fadhil tewas kepada Andrey Chugay dari Kazakhstan sebelum dia sekali lagi meraih perak apabila tewas kepada pelumba Jepun, Yuta Obara di New Delhi, India tahun lalu.
Sementara itu, pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri terlepas peluang mempertahankan emas acara 500m ITT wanita elit yang dimenanginya pada ACC 2022 apabila terpaksa berpuas hati dengan kilauan perak.
Nurul Izzah merakamkan masa 34.426s - catatan yang menyaksikan dia tewas kepada pemenang pingat emas dari China, Jiang Yulu (33.426s), manakala pingat gangsa dimenangi wakil Jepun, Aki Sakai (34.273s).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!