Croatia tetap boleh berbangga

Dalic (kiri) berharap Modric kekal untuk tempoh lebih lama bersama Croatia. - Foto Agensi
Dalic (kiri) berharap Modric kekal untuk tempoh lebih lama bersama Croatia. - Foto Agensi
A
A
A

CROATIA masih boleh berbangga biarpun impian mereka untuk menjuarai Liga Negara-Negara tidak kesampaian setelah tewas 4-5 kepada Sepanyol pada aksi final di Rotterdam awal pagi Isnin.

Jurulatihnya Zlatko Dalic berkata, mereka memenangi satu lagi medal selepas meraih gelaran naib juara dan tempat ketika dalam dua edisi Piala Dunia sebelum ini.

“Kami menang medal. Satu demi satu dan ia adalah sesuatu yang hebat.

“Tiga medal adalah pencapaian hebat dan menunjukkan Croatia memiliki potensi besar. Kami kecewa kerana kalah, tetapi kami patut bangga dengan apa yang dilakukan,” kata Dalic.

Kekalahan selepas terikat tanpa jaringan itu mengecewakan Croatia yang dihangatkan sokongan puluhan ribu penyokong dalam usaha memburu trofi utama pertama selepas merangkul perak dan gangsa dalam dua edisi Piala Dunia lalu.

Pada edisi 2018 di Rusia, Croatia tewas 2-4 kepada Perancis di pentas final, manakala di Qatar tahun lalu mereka meraih tempat ketiga setelah menewaskan Maghribi 2-1.

Di sebalik kekecewaan itu, kem Croatia turut diselubungi teka-teki mengenai masa depan kapten, Luka Modric masih samar selepas pemain tengah Real Madrid berusia 37 tahun itu sekali lagi mempamerkan persembahan memberangsangkan.

“Luka berkata dia akan membuat keputusan sendiri selepas kejohanan ini dan ia memang adil.

“Dia bermain dengan hebat, kami gembira sekiranya Luka terus bermain. Saya berharap dia kekal bersama kami untuk tempoh yang panjang,” ujar Dalic.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!