Mohon maaf: Azwan Bro kata 'no komen'

Laporan Sinar Harian pada Ahad. - Gambar kecil: Khairul Azwan
Laporan Sinar Harian pada Ahad. - Gambar kecil: Khairul Azwan
A
A
A

IPOH - Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun enggan mengulas lanjut terhadap tuntutan maaf yang dikemukakan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berhubung dakwaan sabotaj pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

Beliau juga enggan mengulas terhadap tindakan lanjut yang akan diambil berhubung perkara itu.

"No komen," katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Pada Ahad, Tajuddin memberi tempoh selama seminggu kepada Khairul Azwan yang juga dikenali sebagai Azwan Bro untuk mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.

Menurut bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, kenyataan mengaitkan beliau terhadap dakwaan tersebut disifatkan sebagai tuduhan dan fitnah semata-mata.

Tajuddin berkata, sekiranya tuntutan itu tidak dilakukan, beliau akan mengambil tindakan susulan dengan menyaman dan membuat aduan kepada Lembaga Disiplin UMNO.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan kenyataan Khairul Azwan yang mahu MKT UMNO untuk tidak menerima rayuan penggantungan keahlian Tajuddin kerana mendakwa bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu berterusan memburukkan kepimpinan parti.

Dalam kenyataan itu juga, Khairul Azwan turut mahu memastikan rayuan Tajuddin tidak diterima oleh MKT UMNO.

Tajuddin pada 9 Jun lalu mendedahkan sudah menghantar tiga kali surat rayuan terhadap penggantungan keahliannya namun dipandang sepi.

Bagaimana pun dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023, Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu sentiasa terbuka menerima kembali ahlinya yang dipecat mahupun digantung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!