Azizulhasni congak langkah ke Paris

Azizulhasni (tengah) bersama pemenang pingat perak dari Jepun, Shinji Nakano (kiri) dan rakan seperjuangannya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang meraih gangsa acara keirin ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai pada Ahad. - Foto Bernama
Azizulhasni (tengah) bersama pemenang pingat perak dari Jepun, Shinji Nakano (kiri) dan rakan seperjuangannya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang meraih gangsa acara keirin ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

JAGOAN negara, Datuk Azizulhasni Awang selayaknya digelar legenda Asia selepas merangkul keseluruhan 12 pingat emas pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC).

Pada edisi 2023 yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan, Azizulhasni berjaya membawa pulang dua emas menerusi acara keirin dan pecut individu elit.

Dengan menyambar emas berganda kali ini, Azizulhasni seoalah-olah memberi petunjuk awal ACC 2023 menjadi penampilan terakhirnya pada kejohanan berprestij di rantau Asia itu.

“Ini adalah ACC terakhir saya, prestasi terbaik sepanjang zaman. Juara... juara... tak mudah untuk mendapatan kejuaraan berganda (dua emas pada ACC 2023).

“Sebelum ACC ini, saya berada dalam 10 teratas acara keirin dan selepas kejohanan ini, mungkin naik ke kedudukan kelapan atau enam. Jika sudah masuk lima teratas, saya akan langkau ACC 2024.

“Buat masa ini, kedudukan saya dalam acara keirin agak selesa. Cuma pecut belum benar-benar selamat tapi kita masih ada Kejohanan Dunia (pada Ogos ini), kalau boleh saya nak langkau sahaja ACC,” katanya.

Terdahulu, timbul tanda tanya sama ada Azizulhasni atau lebih dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman akan beraksi pada ACC 2024 di New Delhi, India yang dijadualkan berlangsung pada Februari tahun depan.

Malah, Ketua Jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley juga memberi bayangan Azizulhasni akan bersaing pada ACC 2024 dalam misi mengutip mata kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.

Dalam pada itu, Azizulhasni mengimbas kembali situasi yang berlaku kepada skuad berbasikal trek negara ketika menyertai ACC 2022 di New Delhi pada Jun tahun lalu.

“Saya tidak mengambil bahagian pada ACC tahun lalu kerana menjalani pembedahan (jantung terbuka). Jadi saya hanya mengikuti perkembangan rakan-rakan menerusi kaca televisyen.

“Malangnya hampir seluruh pasukan ke India positif Covid-19. Saya tak mahu dijangkiti Covid-19 kerana apabila pasukan negara balik daripada kejohanan itu tahun lalu, hampir 95 peratus daripada mereka positif.

“Saya tidak mahu ambil risiko itu kerana tempoh ke Olimpik Paris sudah sangat dekat, kira-kira 5 atau 6 bulan, jika kedudukan ranking saya sudah okay, saya tidak mahu sertai (ACC 2024),” ujarnya.

Seakan-akan masih trauma dengan wabak terbabit, Azizulhasni berkata, dia mengharungi detik sukar ketika dijangka Covid-19 sebelum ini kerana memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga minggu untuk pulih.

“Saya pernah kena (positif) dan ambil masa 2 hingga 3 minggu untuk recover. Malah, saya perlu bermula daripada kosong untuk mendapatkan tahap kecergasan terbaik.

“Biasanya sewaktu badan kita sedang sihat dan cergas inilah cukup sensitif, senang dapat penyakit, senang dijangkiti virus, jadi saya tidak mahu mengambil risiko itu,” katanya yang bakal bersara selepas Olimpik Paris 2024.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!