ACO Tech lancar pusat pengalaman digital pertama Malaysia

Lih Kang (depan, kiri) dan Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar Syed A.R. Albar merasai pengalaman pemanduan maya di Kokpit Virtual selepas pelancaran Proton DX di Quill City Mall, Kuala Lumpur. - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Lih Kang (depan, kiri) dan Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar Syed A.R. Albar merasai pengalaman pemanduan maya di Kokpit Virtual selepas pelancaran Proton DX di Quill City Mall, Kuala Lumpur. - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

SYARIKAT dalam Kumpulan Proton, ACO Tech yang juga dimiliki bersama oleh Altel dan ECARX melancarkan pusat pengalaman digital pertama negara, Proton Digital Experience (Proton DX) pada Isnin.

Proton DX yang terletak di Quill City Mall, di sini, merupakan pusat untuk peminat kereta dan teknologi dari semua peringkat usia untuk berkumpul dan menyaksikan inovasi terbaharu dalam industri automotif.

Ketua Pegawai Eksekutif ACO Tech, Li Pu berkata, ia juga untuk mencetuskan minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Katanya, Proton DX berkeluasan 1,607 meter persegi menjadi lokasi yang menggabungkan elemen teknologi interaktif, rekreasi dan gaya hidup untuk mencipta satu pusat pengalaman yang unik.

"Kami teruja untuk menyediakan penyelesaian yang meningkatkan pengalaman pemanduan, menjadikan setiap pemanduan adalah baik untuk rakyat Malaysia memandangkan mobiliti pintar dalam industri automotif berkembang dengan pantas.

"Proton DX adalah salah satu platform yang mempamerkan kepakaran kami," katanya pada majlis pelancaran Proton DX yang disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang di Quill City Mall di sini.

Hadir sama, Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar; Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif China Construction Bank (CCB) Malaysia, Wang Qijie.

Proton DX mempunyai enam zon dan tarikan utama adalah di zon Kokpit Virtual kerana ia membolehkan pengunjung menikmati pemanduan maya dalam sebuah ruang seakan teater tertutup sekali gus dapat mengalami mobiliti pintar.

Selain mempamerkan teknologi-teknologi automotif dalam pasaran, Kokpit Virtual itu juga berfungsi sebagai platform pengalaman konseptual yang menggabungkan inovasi mobiliti masa depan.

Lih Kang (kanan) yang diiringi Li Pu menandatangani plak perasmian Proton DX. - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Lih Kang (kanan) yang diiringi Li Pu menandatangani plak perasmian Proton DX. - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Proton DX yang dibangunkan ACO Tech dengan kerjasama Proton serta CCB dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 10 malam dan orang ramai boleh masuk secara percuma.

Li menjelaskan, pusat itu menawarkan ruang yang imersif untuk semua orang mempelajari tentang teknologi inovatif yang digunakan dalam kereta dan pada masa yang sama, memberikan pengalaman yang melangkaui pemanduan di jalan raya.

"Dalam usaha kami untuk menerajui industri mobiliti pintar, kami berharap Proton DX akan menjadi platform untuk pendidikan STEM. Ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk meningkatkan tahap kesedaran teknologi dan pengetahuan negara," ujarnya.

Sementara itu, pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran, Lih Kang memberitahu, inisiatif ACO Tech, Proton dan DRB-Hicom melancarkan pusat itu sejajar dengan misi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) untuk menjadikan negara bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi menjadi pereka teknologi menjelang 2030.

"Pusat ini memberi peluang untuk orang ramai rasa pengalaman digital dalam industri automotif seterusnya membolehkan kita menarik perhatian dan minat anak-anak yang sebelum ini mungkin kurang berminat terhadap bidang sains dan teknologi.

"Jadi saya yakin dengan adanya fasiliti-fasiliti di Proton DX ini, ia akan menarik minat golongan muda sekali gus dapat membantu kita menambah lagi pelajar-pelajar aliran Sains," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!