Kelantan perintis makanan ternakan kenaf

Wan Abd Rahim (tiga dari kanan) selepas mempengerusikan satu mesyuarat di Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), pada Isnin.
Wan Abd Rahim (tiga dari kanan) selepas mempengerusikan satu mesyuarat di Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Kelantan dipilih sebagai perintis memulakan Program Pembangunan Industri Berasaskan Komoditi Kenaf Untuk Makanan Ternakan yang bermula tahun lalu.

Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata, setakat ini 30 hektar kenaf ditanam melibatkan 200 petani.

Bagaimanapun, katanya, LKTN menyasarkan 200 hektar pokok ditanam tahun ini.

"Setakat ini hasil untuk sekali tuaian mencecah sehingga 10 tan," katanya ketika sidang akhbar kepada pemberita selepas mempengerusikan satu mesyuarat di Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), pada Isnin.

Jelasnya, percubaan berkenaan lebih kepada kegunaan dalam komuniti di Kelantan dan hanya melibatkan jualan antara petani dan terus kepada penternak.

Beliau memaklumkan, tanaman kenaf boleh dipetik Dalam tempoh antara 30 hingga 35 hari untuk dijadikan makanan ternakan segar, silaj dan pelet kenaf.

Wan Abd Rahim memberitahu, kajian yang dibuat oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sekitar tahun 2013 hingga 2015, tuaian dapat dilakukan sehingga enam kali setahun cuma cadangan mungkin hanya tiga kali sahaja," katanya.

Menurut beliau, dalam tempoh percubaan ini pemotongan hanya dilakukan secara manual melibatkan pucuk sahaja.

"Kita akan membangunkan satu jentera tuaian pada masa depan yang membolehkan pemotongan pucuk sahaja seperti sistem pemotongan daun teh," katanya.

Tambah beliau, setakat ini tanaman di Pasir Puteh dan Pasir Mas dihantar ke Kampung Banggu untuk penternak setempat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!