ADUN kecewa sikap sambil lewa kontraktor
SABAK BERNAM - ADUN Sabak, Ahmad Mustain Othman kecewa dengan sikap sambil lewa kontraktor yang menjalankan kerja pembersihan dan kutipan sampah di Taman Berjaya di sini.
Ahamad Mustain memuat naik status dan rakaman video di Facebook peribadinya semalam, bagi menzahirkan kekecewaan berkenaan.
Menurusi rakaman itu, Ahmad Mustain kesal dengan sikap lepas tangan pihak kontraktor bertanggungjawab.
"Bila dah lama saya tak menegur mereka (kontraktor pembersihan) inilah jadinya.
"Sampah tak dikutip, disapu dan tidak dibersihkan dengan sepatutnya," katanya.
Ahmad Mustain berkata, beliau terpaksa mendedahkan perkara itu di media sosial meskipun timbul rasa tidak puas hati pihak terbabit.
"Bila saya tak ambil perhatian, mereka buat kerja main-main dan bila ditegur, mereka marah saya kenapa masuk Facebook dan campur tangan urusan pembersihan," katanya.
Katanya, pihak kontraktor diingatkan supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan kerja kutipan dan pembersihan dilaksanakan dengan sempurna.
"Mereka ini hendak bekerja atau main-main? Kalau tak serius, lebih baik berhenti dan beri syarikat lain buat kerja pembersihan.
"Masa nak dapat kerja bukan main lagi melobi hendak buat kerja yang terbaik, tapi bila dapat kerja saya pula terpaksa menyapu sampah sebab tempat ini terlalu kotor," katanya.
Status Ahmad Mustain di Facebooknya itu menerima sebanyak 89 pelbagai tanda, 48 komen dan 430 jumlah tontonan.
Sementara itu, Majlis Daerah Sabak Bernam dijangka membuat kenyataan susulan dalam waktu terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!