KDEBWM buka pusat kitar semula galak penduduk asing sampah

Ramli (kiri) dan Rodziah (dua dari kiri) merasmikan Pusat Kitar Semula PPR Kampung Baru Hicom pada Isnin.
Ramli (kiri) dan Rodziah (dua dari kiri) merasmikan Pusat Kitar Semula PPR Kampung Baru Hicom pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] KDEB Waste Management (KDEBWM) salur sumbang RM20,000 bagi pembinaan pusat kitar semula di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom.

Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, pusat kitar semula berkonsep 'drop off' itu merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam usaha mengurangkan sampah melalui aktiviti kitar semula.

Menurutnya, kajian dijalankan mendapati kekurangan fasiliti antara faktor amalan kitar semula tidak dapat dilaksanakan dalam kalangan pengguna.

"Jadi dengan adanya pusat kitar semula yang mudah dan efektif ini, diharap penduduk di sini boleh memulakan kitar semula.

"Sejak mula beroperasi April lalu, sebanyak 392 kilogram barangan termasuk kertas, kotak dan plastik berjaya dikumpulkan di pusat kitar semula ini," katanya pada perasmian Pusat Kitar Semula PPR Kampung Baru Hicom pada Isnin.

Ramli
Ramli

Perasmiam disempurnakan oleh Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri, Rodziah Ismail.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS), Datuk Dr Juhari Ahmad dan Pengurus Besar Perumahan dan Hartanah Selangor, Wan Mohd Fadzli Mohd Yusof.

Pengoperasian pusat kitar semula 'drop off' tersebut merupakan kerjasama yang julung kali diadakan bersama LPHS melalui anak syarikat Perumahan dan Hartanah Selangor.

Ramli berkata, pihaknya mempertimbangkan untuk perkenal sistem ganjaran sebagai galakan penduduk turut serta dalam program kitar semula berkenaan.

"Kita lihat dahulu perkembangan pusat kitar semula ini antara tiga atau empat bulan, selepas itu kita akan tambah baik termasuk kembangkan sistem ganjaran sebagai memberikan motivasi kepada penduduk.

"Jika sambutan menggalakkan, kami merancang meneruskan konsep sama kepada sekurang-kurangnya dua lagi lokasi pada tahun ini," katanya.

Selain pusat kitar semula itu, KDEBWM turut mengendalikan operasi pusat kitar semula komuniti Cyberjaya dan dua pusat pengumpulan bahan kitar semula di Jalan Korporat, Klang dan Bukit Puchong.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!