'Emas ini ada makna istimewa'
PELUMBA negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis akhirnya merealisasikan 'impian emas' apabila mengungguli acara 1 kilometer (km) ujian masa individu (ITT) elit lelaki Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023.
Fadhil berjaya mengubah kilauan emas daripada perak yang diraihkan dalam dua edisi ACC sebelum ini dengan merekodkan catatan masa 1 minit 00.559 saat di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan pada Isnin.
Catatan itu sudah cukup buat Fadhil mengetepikan dua pencabar terdekatnya - Laitonjam Ronaldo dari India (1:00.863s) dan pelumba Korea Selatan, Woorim Choi (1:01.541s).
Di sebalik senyuman yang terukir pada wajahnya, Fadhil mendedikasikan kejayaannya itu buat arwah bapanya, Mohd Zonis Mokhtar yang meninggal dunia pada 2019.
“Emas ini ada makna istimewa. Saya sudah cuba banyak kali sebelum ini, tetapi tak berjaya. Semalam (Ahad) pula hari bapa dan bapa saya meninggal dunia sejak empat tahu lalu.
“Memang niat saya dari dulu untuk mendapatkan jersi ini (Jersi Putih juara Asia) bagi (membalas) segala pengorbanan yang arwah ayah saya lakukan selama ini.
“Sebelum ini, arwah ayah saya adalah tunjang belakang keluarga. Walaupun ketika dia sakit, ketika hari-hari terakhir dia nazak, dia masih memberikan sokongan kepada saya.
“Bila saya menang tadi, saya agak emosi sehingga mengalirkan air mata. Bila difikirkan kembali, ibu saya berada di rumah, adik saya pula kemalangan, jadi ini adalah pengorbanan untuk keluarga saya,” katanya.
Kejayaan Fadhil itu menyaksikan dia mengikut jejak langkah Mohd Edrus Yunus yang kali terakhir menyumbang emas buat Malaysia dalam acara tersebut pada edisi 2012 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras.
Untuk rekod, pelumba kelahiran Selangor berusia 25 tahun itu sebelum ini memenangi pingat perak acara 1km ITT elit di pentas ACC pada edisi 2020 dan 2022.
Sementara itu, pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri terlepas peluang mempertahankan emas acara 500m ITT wanita elit yang dimenanginya pada ACC 2022 apabila terpaksa berpuas hati dengan kilauan perak.
Nurul Izzah merakamkan masa 34.426s - catatan yang menyaksikan dia tewas kepada pemenang pingat emas dari China, Jiang Yulu (33.426s), manakala pingat gangsa dimenangi wakil Jepun, Aki Sakai (34.273s).
Begitupun, Nurul Izzah masih boleh berbangga apabila memecahkan rekod 34.542s dilakukan bekas pelumba handalan wanita negara, Fatehah Mustapa dengan catatan baharu, 34.426s.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!