Sekularisme, 'Malaysian Malaysia' wajib ditolak rakyat - Hadi

Abdul Hadi Awang. - Bernama
Abdul Hadi Awang. - Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Dua konsep perjuangan DAP iaitu sekularisme ekstrem dan ‘Malaysian Malaysia’ wajib ditentang dan ditolak oleh umat Islam di negara ini kerana konsepnya salah.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sekularisme ialah suatu konsep atau ideologi pemisahan antara agama dengan institusi atau badan negara.

"Fahaman tersebut cuba memansuhkan atau mengurangkan keterikatan antara pemerintahan dengan agama negara, menggantikan hukum keagamaan dengan sivil, dan menghilangkan pembezaan yang dianggapnya tidak adil dengan dasar agama.

"Kedua-dua konsep itu mempengaruhi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi oleh DAP. Mereka merupakan parti paling besar jumlahnya dan mempunyai golongan bukan Islam yang ekstrem selain terdapat kelompok Islam liberal dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR),"' katanya menerusi laman Facebook pada Isnin.

Menurut Abdul Hadi, pada masa yang sama mereka menganggap agama ALLAH S.W.T tidak adil.

"Ia merupakan suatu anggapan yang salah terhadap ALLAH yang maha suci daripada segala sifat kelemahan dan kekurangan.

Tambah beliau, perkara tersebut berkonsepkan slogan demokrasi purba iaitu “Vox populi, vox dei" yang bermaksud “Suara rakyat suara Tuhan atau suara rakyat suara keramat.”

"Itulah gambaran bagaimana suara makhluk yang lemah mengatasi firman ALLAH yang Maha Berkuasa," jelasnya.

Beliau turut berpendapat, sekularisme sering kali dikaitkan dengan Era Pencerahan (The Age of Enlightenment) yang berlaku di Eropah dan memainkan peranan utama dalam peradaban barat.

"Prinsip utama fahaman tersebut ialah pemisahan antara gereja dengan negara, agama dengan sains di negara Barat dengan berlakunya Revolusi Perindustrian.

"Kini, terserlah kesan yang sangat negatif apabila politik kehilangan moral kerana telah hilang rohnya apabila tidak beraqidah. Masyarakat Barat yang demokratik menjadi tidak beragama sehingga meruntuhkan jati diri kemanusiaan dan menyebabkan kemusnahan institusi keluarga," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!