Persatuan pendidikan di India larang pelajar perempuan tutup muka
KOZHIKODE - INDIA. Persatuan Pendidikan Muslim (MES) di Kerala yang bertanggungjawab ke atas 150 institusi pendidikan di India, melarang pelajar perempuan di institusi kelolaannya daripada memakai sebarang pakaian yang menutupi muka.
"MES tidak mengggalakkan pemakaian sebarang jenis penutup muka di dalam kampus kelolaannya.
"Pengurus setiap institusi MES perlu memastikan pelajar perempuan tidak datang ke kampus dengan muka bertutup dan arahan tersebut harus dimasukkan sebagai peraturan kampus bagi tahun pengajian 2019-2020," menurut pekeliling yang dikeluarkan oleh Presiden MES, Fazal Gafoor pada 19 April lalu.
Gafoor berkata, keputusan melarang pemakaian penutup muka diambil sebelum kerajaan Sri Lanka mengharamkan burqa ekoran siri pengeboman pada 21 April lalu.
Menurutnya, MES yang memfokuskan kemajuan sosial dan budaya komuniti Muslim mahu pelajar mematuhi etika pemakaian, pakaian yang tidak boleh diterima dalam masyarakat arus perdana, sama ada bersifat moden atau keagamaan tidak boleh dipromosi.
Walaupun tidak menyebut niqab secara khusus dalam pekeliling tersebut, namun secara teknikalnya ia turut melibatkan pemakaian penutup muka yang sering dipakai wanita Muslim itu.
Namun, larangan yang dikenakan di kampus MES itu menerima tentangan beberapa organisasi Muslim, antaranya Presiden Ulama Samastha Kerala Jem-Iyyathul, Syed Muhammad Jiffiri Thangal yang mempersoalkan kuasa MES dalam membuat keputusan berkaitan isu agama. "Amalan wanita menutup muka adalah sebahagian daripada agama dan ia telah lama dipraktikkan, terdapat organisasi keagamaan yang boleh membuat keputusan berhubung perkara berkaitan agama dan MES tidak perlu campur tangan dalam isu terbabit," kata Syed Muhammad.
Gafoor bagaimanapun berkata, mahkamah tinggi telah memberi kebebasan kepada institusi pendidikan untuk menentukan kod pemakaian dan tidak timbul sebarang kontroversi berhubung isu itu.
Antara institusi yang berada di bawah pengawasan MES termasuk 10 kolej profesional, 18 kolej sastera dan sains, 12 sekolah menengah atas dan 26 sekolah Central Board of Secondary Education (CBSE). - Times of India
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!