Strategi tingkat pasaran modal dijangka dapat sokong ringgit - PM

Anwar menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada Isnin. - Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Strategi untuk meningkatkan pasaran modal Malaysia yang diumumkan hari ini berkemungkinan dapat membantu meningkatkan ringgit, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, asas ekonomi negara masih lagi teguh.

"Ia tidak saling berkait, tetapi mudah-mudahan kita boleh...Apa yang paling penting adalah asas (ekonomi) adalah kukuh,” kata Anwar kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian semasa ditanya mengenai sama ada pengumuman tersebut akan membantu mengukuhkan mata wang tempatan.

Bagi meluaskan pilihan pelaburan mengikut kemampuan rakyat, ditambah dengan hasrat untuk menggalakkan lagi minat pelabur dalam pasaran modal, Anwar juga mengumumkan kadar duti setem bagi saham yang didagangkan di Bursa Malaysia Securities akan dikurangkan kepada 0.10 peratus nilai kontrak daripada 0.15 peratus pada masa ini, tertakluk kepada had maksimum RM1,000 setiap kontrak, berkuat kuasa Julai.

Kementerian Kewangan dan SC juga akan berusaha untuk meluaskan definisi pelabur sofistikated dengan melibatkan sekali 'angel investor' (pelabur mangkin).

Manakala SC dan Bursa Malaysia akan melaksanakan pembaharuan untuk memudahkan penyenaraian di bursa pada tahun ini dengan mempercepatkan proses tawaran awam permulaan (IPO) serta memendekkan masa ke pasaran bagi memastikan daya saing dan daya tarikan Malaysia.

Sementara itu, program CMGP yang dilancarkan hari ini itu adalah bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memastikan perancangan tenaga kerja yang mampan bagi menangani kekurangan tenaga kerja mahir dalam pasaran modal. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!