Lokasi Bazar Ramadan Jalan Raja strategik: DBKL
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyifatkan lokasi Jalan Raja sebagai kawasan strategik bagi menggantikan tapak bazar Ramadan di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR).
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, lokasi tapak bazar Ramadan pada tahun ini yang terletak di Dataran Merdeka dilihat dapat menjadi tumpuan pengunjung termasuk pelancong asing yang datang ke sini.
Beliau berkata, peniaga dan pengunjung bazar berkenaan turut disediakan kemudahan parkir di Plaza Dataran Merdeka (ruang bawah Dataran Merdeka) atau tempat letak kereta awam di sekitar kawasan Dataran Merdeka.
"Di samping itu, pengunjung boleh menggunakan kemudahan pengangkutan awam termasuklah Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) di Masjid Jamek dan Pasar Seni.
" Memandangkan ini adalah pertama kali bazar Ramadan diadakan di tapak tersebut maka adalah kurang wajar untuk menentukan samada tapak tersebut tidak strategik dan berdaya maju kepada para peniaga," katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mengenai kegusaran peniaga di Jalan TAR berhubung sambutan yang bakal diterima mereka selepas ini apabila diarahkan berpindah ke lokasi baharu di Jalan Raja.
Mengulas lanjut, Nor Hisham memaklumkan pihaknya menerima sebanyak 1,448 permohonan daripada peniaga yang berminat untuk berniaga di tapak Bazar Ramadan Jalan Raja pada tahun ini.
Daripada jumlah itu, beliau berkata DBKL hanya menyediakan sebanyak 334 petak dan kesemuanya telah diisi penuh oleh peniaga yang layak.
"Buat masa ini, kerja-kerja pemasangan logistik di Jalan Raja telah bermula pada Rabu lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada esok (Sabtu)," katanya.
Dalam pada itu, Nor Hisham berkata, DBKL juga akan mengadakan sesi 'post mortem' berhubung pelaksanaan bazar Ramadan di Jalan Raja selepas Hari Raya Aidil Fitri ini bagi membuat penilaian sepenuhnya berhubung perkara itu.
Ujarnya, penilaian akan dibuat meliputi aspek kelemahan, punca masalah, cadangan penambahbaikan dan rumusan terhadap keseluruhan program tersebut.
"Laporan post mortem ini juga akan dibawa ke pihak pengurusan tertinggi DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad. Sebarang keputusan atau perubahan (untuk kekalkan bazar di tapak berkenaan) akan dibuat selepas itu," katanya.
Tambahnya, aktiviti bazar Ramadan di Jalan Raja itu juga tidak melibatkan kawasan padang Dataran Merdeka bagi memelihara keindahan dan kebersihan di kawasan berkenaan.
"Peniaga hanya dibenarkan beroperasi di dalam kawasan kanopi berbumbung sahaja dan pasukan penguat kuasa juga ditempatkan bagi memantau keadaan dan mengawal kawasan persekitaran.
"Selain itu, kemudahan tong sampah yang secukup dan pasukan pembersihan dari Alam Flora Sdn Bhd akan ditempatkan di tapak untuk memastikan tahap kebersihan terkawal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!