PRN: Pastikan semua calon bersih, tiada kes rasuah
MELAKA - Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Rasuah Busters Melaka menyarankan pengundi yang akan berdepan pilihan raya negeri (PRN) akan datang memilih calon bersih dan tiada kes rasuah.
Timbalan Pengerusinya, Ashwad Abd Rahim berkata, Melaka boleh dijadikan contoh apabila menampilkan 70 peratus calon muka baharu yang rata-rata bersih dan tidak berdepan kontroversi pada PRN lalu.
Menurutnya, ciri-ciri calon berwawasan itu diyakini mampu menarik minat pengundi untuk mengundi mereka, berbanding pemimpin yang terpalit dengan kes penyelewengan.
Malah katanya, keputusan PRN Melaka lalu memperlihatkan calon kategori itu berjaya memikat hati pengundi sekali gus menjadi wakil rakyat untuk membawa suara rakyat.
"Sewajarnya mereka yang mempunyai rekod tidak bersih, lebih baik tidak bertanding dan undur diri.
"Ini kerana rakyat lebih bijak membuat pilihan dan pasti mengutamakan calon rekod bersih demi memastikan negara dipimpin oleh mereka yang berintegriti.
"Di Melaka antara wakil rakyat yang boleh dijadikan contoh seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem di mana rakyat sendiri boleh melihat serta menilai kaedah beliau dalam melaksanakan tugas," katanya ketika ditemui di Malim, di sini pada Isnin.
Katanya, ketegasan ADUN Duyong itu membawa isu-isu yang menghantui rakyat seperti masalah Rohingya dan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk membongkar mereka yang terlibat dengan kebanjiran PATI di negara ini perlu dijadikan ikutan.
"Pemilihan calon penting supaya generasi akan datang mendapat kerajaan yang lebih baik dan jujur menggalas tanggungjawab.
"Yang penting tolak birokrasi dan elak kontroversi untuk pastikan rakyat aman dan harmoni," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!