Warga emas cedera diserang beruk di Taman Tasik Taiping
TAIPING - Seorang wanita warga emas cedera selepas diserang sekumpulan beruk di Dataran Kedamaian Taman Tasik Taiping di sini, pada pagi Isnin.
Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang laporan polis dibuat mengenainya.
Jurucakap Majlis Perbandaran Taiping (MPT) pula berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai kejadian serangan beruk itu.
Menurutnya, aduan mengenainya telah dipanjangkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya telah menghantar kakitangan daripada Perhilitan Selama ke lokasi kejadian untuk membuat pemantauan.
“Kita akan pasang perangkap dan akan melakukan operasi pelupusan khususnya beruk yang dipercayai menyerang mangsa,” katanya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!