Permohonan Naib Ketua UMNO ditolak, Radzi Jidin kekal di Putrajaya
PUTRAJAYA – Kerusi Parlimen Putrajaya sekali lagi kekal menjadi milik Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, selepas Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin, menolak rayuan Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim untuk mencabar kemenangan Naib Presiden Bersatu ini dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli sebulat suara menolak permohonan itu, selepas berpuas hati bahawa, petisyen yang difailkan Ahmad Faisal tidak mengandungi butiran mencukupi sehingga mewajarkan ia dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.
Turut bersidang ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Nordin Hassan.
Mahkamah turut berpendapat, perkara itu tidak bermerit, lalu memerintahkan Ahmad Faisal selaku pemohon membayar kos RM30,000 kepada Mohd Radzi sebagai responden.
Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, membenarkan bantahan awal oleh Mohd Radzi untuk membatalkan petisyen tersebut sekali gus menyebabkan beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Putrajaya.
Mahkamah Tinggi mendapati, Ahmad Faisal gagal membuktikan amalan rasuah dilakukan sama ada oleh bekas Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi tersebut atau ejennya.
Sebelum ini, Ahmad Faisal selaku seorang pengundi, memfailkan petisyen bagi membatalkan kemenangan Mohd Radzi yang memenangi kerusi Parlimen Putrajaya dalam PRU lalu.
Beliau mendakwa Mohd Radzi memberi sogokan RM150 kepada pengundi berdaftar di kawasan itu.
Ahmad Faisal, 50, memfailkan petisyen pada 26 Januari lalu, menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak dengan menamakan Mohd Radzi, 46, selaku responden tunggal.
Menurut petisyen yang difailkan, pemimpin UMNO itu turut mendakwa, butiran sogokan dinyatakan menerusi perbualan dalam aplikasi ‘WhatsApp’ bertarikh 21 November dan 21 Disember 2022 serta 4 Januari lalu.
Ahmad Faisal menyatakan, rasuah yang dilakukan oleh responden dan ejen-ejennya menyebabkan kemenangan kepada calon PN ini, mengalahkan calon BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Rekod penyandang Parlimen Putrajaya selama empat penggal berturut-turut oleh Tengku Adnan sejak tahun 2004, dileburkan oleh bekas Menteri Kanan Pendidikan, Mohd Radzi ketika PRU lalu, selepas pemimpin Bersatu tersebut berjaya mengumpul 16,002 undi mengalahkan calon BN, dengan majoriti 2,310 undi.
Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, memperoleh 13,692 undi manakala calon PH, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (5,988 undi) dan calon Pejuang, Datuk Mohd Rosli Ramli (878 undi).
Dua calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi mendapat 63 undi dan Lim Fice Bee pula 20 undi manakala Mohd Rosli, Samsudin serta Fice Bee hilang deposit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!