Lima saintis muda wakili Malaysia ke Mesyuarat Nobel Laureate ke-72
SHAH ALAM - Lima Saintis muda negara diberi pengiktirafan mewakili Malaysia dalam Mesyuarat Nobel Laureate ke-72 di Lindau, Jerman yang bakal berlangsung mulai 25 hingga 30 Jun ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, saintis terpilih itu adalah Dr Liyana Azmi, (Universiti Sains Islam Malaysia); Dr Norhasmira Mohammad, (Universiti Teknologi Mara); Dr Wong Yin How, (Taylors University); Dr Afifah Mohamed, dan Dr Wong Sok Kuan, (Universiti Kebangsaan Malaysia).
Menurutnya, kumpulan berkenaan merupakan antara 635 saintis muda terpilih seluruh dunia akan berinteraksi secara langsung dengan sekurang-kurangnya 40 Pemenang Anugerah Nobel dalam mesyuarat kali ini yang didedikasikan bagi bidang fisiologi dan perubatan.
“MOSTI menekankan keperluan untuk memberikan peluang kepada para saintis muda Malaysia untuk turut serta dalam program-program bertaraf global, seperti Mesyuarat Nobel Laureate.
“Melalui perkongsian perspektif baharu serta idea-idea yang inovatif, saintis-saintis muda ini menjadi aset berharga bagi komuniti saintifik.
“Langkah ini adalah penting untuk memastikan bahawa generasi baharu saintis dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan bagi menghadapi cabaran masa depan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, Malaysia menerusi MOSTI dan Akademi Sains Malaysia (ASM) telah menghantar 84 saintis muda termasuk peserta tahun ini untuk mengambil bahagian dalam Mesyuarat Nobel Laureate sejak tahun 2004 lalu.
Sementara itu, Presiden ASM, Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata, penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat Nobel Laureate ini merupakan salah satu usaha menerusi kolaborasi antarabangsa dalam memperkasakan kumpulan tersebut, sekali gus memberi peluang kepada mereka bekerjasama dengan saintis terkemuka di seluruh dunia.
Ini juga katanya, secara tidak langsung turut memberi pendedahan berharga kepada mereka dan secara tidak langsung dapat memperluas rangkaian, berkongsi idea, pengetahuan dan penyelidikan.
“Program ini diharap mampu memberi inspirasi serta motivasi kepada mereka untuk memajukan sains dan teknologi sekali gus memberikan impak positif kepada masyarakat,” katanya.
Jelasnya, ASM membuka pencalonan bagi Mesyuarat Nobel Laureate ke-72 kepada semua saintis muda IPTA dan IPTS seluruh negara pada 21 September hingga 7 Oktober tahun lalu.
Saringan awal katanya, dilakukan ASM dan seterusnya diputuskan ahli jawatankuasa Mesyuarat Nobel Laureate untuk pemilihan akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!