PRN: ACCIN syor anjur debat terbuka calon bertanding
SHAH ALAM - Perikatan Gabungan NGO-NGO Islam Malaysia (ACCIN) mencadangkan debat terbuka di media arus perdana diadakan antara calon parti politik terutama pimpinan negeri dan nasional menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif ACCIN, Mohd Jamaludin Shamsudin berkata, penganjuran itu bertujuan memberi peluang kepada pimpinan mengemukakan manifesto parti masing-masing.
“Hanya dengan debat atau dialog terbuka, kebolehan dan ilmu seseorang calon boleh dinilai dengan baik. Rakyat tidak boleh diselewengkan dengan penipuan kerana ada naratif balas yang boleh menyerlahkan hakikat kebenaran.
“Dengan adanya debat, isu-isu boleh dibawa ke khalayak umum untuk dibincang, diteliti dan dinilai oleh pengundi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Mohd Jamaludin berkata, budaya calon membaca skrip, tidak diuji penggarapan ilmu dan pengalaman sesuatu tajuk akan melahirkan pemimpin yang lembab serta tidak dinamis.
Beliau menjelaskan, budaya debat juga telah lama diamalkan dalam demokrasi malah dilakukan oleh negara yang baharu melalui pembaharuan seperti Indonesia.
“Di negara-negara ini, debat pilihanraya terutamanya melibatkan pemimpin tertinggi parti adalah satu acara yang ditunggu-tunggu.
“Semua calon dan parti perlu diberi ruang yang secukupnya dalam semua saluran media kerajaan dan swasta untuk menyampaikan mesej dan manifesto masing-masing kepada pengundi.
“Pertandingan juga biarlah positif dan konstruktif tanpa menggunakan helah atau penipuan. Ini akan membolehkan rakyat membuat penilaian terbaik seterusnya memilih pemimpin yang mampu menjanjikan manifesto bermanfaat kepada rakyat,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memastikan pilihan raya telus dan adil bagi memastikan suara serta aspirasi rakyat dapat diterjemahkan melalui pilihan raya ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!