Geng Sugu aktif samun gudang kecundang
BANTING - Polis menumpaskan Geng Sugu susulan penahanan empat lelaki yang aktif terlibat dalam jenayah samun gudang.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, empat suspek berusia lingkungan 27 hingga 30 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Tanjung Sepat, Kuala Langat pada Ahad.
Menurutnya, tangkapan pertama membabitkan dua lelaki termasuk ketua geng pada jam 2.30 petang, manakala dua lagi rakannya pada jam 11.20 malam.
"Hasil penahanan itu, polis merampas pelbagai barang kes antaranya tiga unit alat penimbang digital, mesin gerudi, gergasi besi, sepana dan tong gas.
"Turut dirampas ialah dua kereta jenis Proton Wira disyaki digunakan suspek untuk melakukan samun selain sebuah motosikal curi jenis Honda EX5," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada Isnin.
Beliau berkata, siasatan mendapati Geng Sugu aktif sejak tiga bulan lalu.
Katanya, empat suspek tersebut masing-masing mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.
"Seorang daripada suspek turut dikehendaki bersabit kes dadah di daerah Sepang.
"Dipercayai, geng ini terlibat dalam tiga kes samun di daerah Kuala Langat," ujarnya.
Tambahnya, kesemua suspek direman enam hari bermula Isnin untuk siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Sebelum itu, polis menerima laporan daripada seorang pekerja asing di sebuah gudang besi buruk di Banting disamun sekumpulan lelaki berparang yang melarikan pelbagai barang dianggar bernilai RM200,000 kira-kira jam 1 pagi, Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!