'LRA Tok Bali bukanlah projek baharu' - Tuan Ibrahim
SHAH ALAM - Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Tok Bali bukanlah perkara baharu, sebaliknya hanya meneruskan projek sedia ada dengan menukar nama.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebenarnya tiada yang baharu dalam pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad bagi mengatasi masalah bekalan air di Kelantan.
Menurutnya, Anwar hanya meneruskan usaha lama yang telah dilaksanakan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
"Ia hanya meneruskan apa yang telah dilaksanakan oleh pihak KASA ketika saya menerajuinya.
"Projek LRA Tok Bali bukanlah satu projek baharu, ia sekadar perubahan nama daripada LRA Semerak yang dinamakan KASA sebelum ini.
"Penamaan LRA Semerak ketika itu dibuat kerana ia dibina di tepi Sungai Semerak dan di atas tanah milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Semerak," katanya menerusi kenyataan di Facebooknya pada Isnin.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim yang juga bekas Menteri Alam Sekitar dan Air menyambut baik pengumuman Perdana Menteri itu yang mahu menyelesaikan masalah air di Kelantan.
"Saya menyambut baik pengumuman PMX untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan sebagaimana yang diumumkan.
"Alhamdulillah, demi kesejahteraan dan kebaikan, ia sememangnya wajar diteruskan," ujarnya.
Pada Ahad, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM500 juta bagi mengatasi masalah bekalan air di Kelantan.
Katanya, peruntukan itu bagi menyegerakan pembinaan LRA Tok Bali dan penggantian paip di Bachok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!