UPNM kekal penguasaan peringkat ketiga LTdlPT 2023
UNIVERSITI Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) meneruskan penguasaan saingan Le Tour de IPT (LTdlPT) 2023 apabila mengungguli peringkat ketiga pada Isnin.
Namun kali ini giliran pelumba jersi 55, Ahmad Irfan Abdul Hamid apabila menguasai laluan sejauh 84.5 kilometer (km) dari Politeknik Port Dickson hingga Universiti Putra Malaysia (UPM).
Pecutan bertenaga Ahmad Irfan membolehkannya melakarkan catatan masa 2 jam 7 minit 12 saat (s) dalam perlumbaan sengit berkenaan sekali gus mengekalkan jersi Polka Dot (Raja Bukit).
Tempat ketiga menjadi milik Muhammad Aniq Najmuddin Md Sufian dari Universiti Teknologi Mara A (2:07:12s) diikuti ketiga pelumba Malaysian University Cycling Team B, Muhamad Firas Aliyan Ismail (2:07:12s).
Sementara itu, pemenang dua peringkat terawal dari UPNM, Mohamad Afi Danial Ramli Abu Bakar menduduki tempat kelapan dengan catatan 2 jam 9 minit 38 saat.
Keputusan peringkat ketiga tidak menjejaskan status pelumba jersi 56 itu yang masih mengekalkan Jersi Kuning bagi juara keseluruhan peringkat ketiga, Jersi Putih (pelumba terbaik bawah 21 tahun) dan Jersi Hijau (Raja Pecut).
Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Dr Pekan Ramli berkata, “Saya sangat berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pelumba-pelumba muda IPT walaupun ini edisi pertama, mereka nampak matang walaupun masih kurang pengalaman.”
Saingan seterusnya pada Selasa merupakan peringkat keempat sejauh 83.5km bermula dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Bangi hingga Bangunan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Putrajaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!