Cabaran mengurus haji pada masa depan
BARU-baru ini Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman memberitahu tempoh menunggu giliran menunaikan ibadah haji bagi pendeposit yang baru mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai bakal jemaah, kini meningkat kepada 148 tahun.
Mereka adalah sebahagian daripada 3.8 juta bakal jemaah di Malaysia yang sedang menanti tawaran mengerjakan Rukun Islam kelima itu.
Berdasarkan maklumat dalam laman sesawang TH, sistem pendaftaran haji sedia ada yang berdasarkan konsep ‘Mendaftar Dahulu, Didahulukan’ telah dilaksanakan sejak 1995.
Dengan tempoh yang amat lama ini, terdapat kemungkinan hasrat sebahagian umat Islam di Malaysia yang ingin menunaikan Rukun Islam yang kelima itu tidak tercapai.
Bagi mereka yang baharu sahaja mendaftar haji mungkin ini merupakan satu perkara yang mendukacitakan dan terpaksa menerima hakikat tersebut.
Bagaimanapun, kita masih berpeluang untuk membantu anak-anak yang baharu lahir dengan mendaftarkan mereka terus pada usia yang masih kecil ini.
Ini memerlukan kesedaran tinggi dalam kalangan ibu bapa supaya anak-anak mereka tidak menunggu tempoh yang lama dan jika ada rezeki dapat menunaikan ibadah itu pada usia lebih muda.
Selain tempoh menunggu yang semakin lama, faktor kos untuk menunaikan haji juga merupakan satu cabaran besar kepada semua pihak.
TH pada 20 Mac 2023 mengumumkan bantuan Kewangan Haji bagi tahun 1444H/2023 diberikan secara bersasar mengikut kategori B40 dan M40.
Ini kerana kos haji bagi seorang jemaah Muassasah meningkat kepada RM30,850 pada tahun ini berbanding RM28,632 tahun lepas.
Oleh demikian, umat Islam perlulah bersiap sedia daripada awal lagi jika ingin menunaikan haji pada masa akan datang.
Dengan membuka akaun dengan TH kepada bayi dan tabungan yang konsisten serta jumlah dividen yang baik pada setiap tahun sekurang-kurangnya dapat membantu pada masa hadapan.
Atas sebab inilah kita amat menghargai jasa tokoh ekonomi Melayu terkenal iaitu Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang mengilhamkan penubuhan TH pada Disember 1959.
Beliau telah mengajar kepada kita semua tentang betapa pentingnya amalan menabung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!