Akui khilaf jemput Ustaz Wadi, Janna Nick mohon maaf
KUALA LUMPUR - Pelakon Janna Nick mengakui kekhilafannya apabila menjemput pendakwah popular, Ustaz Mohamad Wadi Annuar atau popular dengan panggilan Ustaz Wadi ke majlis perkahwinannya bersama Dini Schatzmann, minggu lalu.
Kata Janna, dia terlepas pandang mengenai aspek penganjuran majlis resepsi yang kurang sesuai dihadiri tokoh agamawan seperti Ustaz Wadi.
"Tujuan saya menjemput Ustaz Wadi kerana malam sebelum hari pernikahan, kami minta beliau mengetuai majlis doa selamat dan bacaan Yassin.
"Malam itu juga, beliau ada menyampaikan ceramah berkaitan kehidupan berumah tangga.
"Saya minta maaf, saya sedar itu merupakan kelalaian dan kesalahan dari pihak saya (kerana) majlis itu tidak sesuai dengan beliau," katanya yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem Jemputan Ke Neraka pada Isnin.
Pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner itu juga meminta agar orang ramai berhenti memperkatakan isu berkenaan apatah lagi selepas Ustaz Wadi sendiri sudah memberi penjelasan di pihaknya.
"Saya sangat menghormati Ustaz Wadi dan juga para ulama, kalau mahu bandingkan nama saya dengan Ustaz Wadi, sangat jauh perbezaannya.
"Saya rasa hina sangat kalau mahu panjangkan isu ini. Niat saya hanyalah sekadar memohon keberkatan dengan meminta seorang ahli agama yang tinggi ilmu, mendoakan majlis dan rumah tangga saya.
"Saya mohon kepada orang ramai untuk tidak lagi kaitkan nama Ustaz Wadi dengan saya. Saya juga telah membuat permohonan maaf secara peribadi dengan beliau," katanya lagi.
Terdahulu, netizen meluahkan rasa tidak selesa melihat kehadiran agamawan itu ke majlis resepsi pasangan berkenaan yang bertema ala kebaratan.
Netizen mempersoalkan kejanggalan apabila pendakwah itu 'terpaksa' berada dalam majlis di mana pengantin mengenakan pakaian tidak menutup aurat manakala tetamu yang hadir juga dilihat kurang tertib.
Dalam penjelasannya, Ustaz Wadi memaklumkan kehadirannya itu adalah kerana menjadi kewajipan untuk memenuhi undangan pernikahan, namun mengambil keputusan untuk meninggalkan majlis lebih awal selepas memaklumkan kepada tuan rumah. - Awani
ARTIKEL BERKAITAN:
Ustaz Wadi jelas isu hadir majlis perkahwinan Janna Nick
Janna Nick sah jadi isteri Dini Schatzmann dengan sekali lafaz
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!