600 asnaf terima manfaat daripada peruntukan PTPTN

A
A
A

Norliza (tiga dari kiri) menyantuni salah seorang penerima sumbangan semasa sesi ‘walkabout’ di Flat Kampung Melayu, Pulau Pinang.
Norliza (tiga dari kiri) menyantuni salah seorang penerima sumbangan semasa sesi ‘walkabout’ di Flat Kampung Melayu, Pulau Pinang.

SHAH ALAM - Seramai 600 golongan asnaf menerima manfaat menerusi Program Setulus Kasih PTPTN yang dilaksanakan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

PTPTN dalam satu kenyataan berkata, program itu melibatkan negeri- negeri terpilih seluruh Malaysia dengan sumbangan zakat PTPTN berjumlah RM120,000 yang disalurkan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime dan kotak makanan barangan keperluan harian.

“Secara keseluruhannya, sumbangan ini memberi manfaat kepada 600 penerima terdiri daripada pelajar dan keluarga asnaf. Setiap pelajar dan keluarga akan menerima simpanan akaun Simpan SSPN Prime dan sumbangan kotak makanan berjumlah RM200,” jelas kenyataan itu pada Isnin.

Menurut kenyataan itu, bagi memastikan bantuan yang diberikan dinikmati oleh golongan sasar, program ini turut melibatkan kerjasama dengan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin setempat.

Norliza (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kotak makanan dan replika kad Simpan SSPN Prime kepada salah seorang penerima sumbangan.
Norliza (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kotak makanan dan replika kad Simpan SSPN Prime kepada salah seorang penerima sumbangan.

“Program ini dianjurkan bertujuan untuk menggalakkan penabungan bagi tujuan pendidikan serta membantu meringankan beban golongan yang memerlukan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, pada 16 Jun lepas, Pulau Pinang telah menjadi lokasi pertama bagi Program Setulus Kasih PTPTN dan penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim bertempat di Surau Kampung Melayu, Ayer Hitam.

Turut hadir, Pengurus Besar Kanan Jabatan Operasi Cawangan PTPTN, Mohd Rusdi Ismail; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman.

Menurut kenyataan itu, pemberian sumbangan berjumlah RM20,000 itu merangkumi simpanan akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM10,000 dan kotak makanan berjumlah RM10,000 yang disampaikan kepada 100 pelajar dan keluarga asnaf di Pulau Pinang.

Norliza (tengah)bergambar bersama penerima sumbangan Program Setulus Kasih PTPTN yang diadakan di Surau Kampung Melayu, Ayer Hitam Pulau Pinang.
Norliza (tengah)bergambar bersama penerima sumbangan Program Setulus Kasih PTPTN yang diadakan di Surau Kampung Melayu, Ayer Hitam Pulau Pinang.

“Kami berharap melalui sumbangan yang diberikan PTPTN ini dapat membantu meringankan beban hidup golongan yang memerlukan, meningkatkan motivasi anak-anak untuk terus mencipta kejayaan dalam akademik dan sahsiah, sekali gus menjadi modal insan berguna kepada agama, bangsa dan negara,” kata kenyataan itu.

PTPTN telah mewujudkan instrumen simpanan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebagai platform terbaik untuk menggalakkan masyarakat merancang kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi.

Simpan SSPN menyediakan pelbagai keistimewaan untuk manfaat masyarakat Malaysia seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan dijamin kerajaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!