90 dijangkiti HIV, doktor guna jarum suntikan tercemar
KARACHI - PAKISTAN. Sekurang-kurangnya 90 orang termasuk 65 kanak-kanak dipercayai telah dijangkiti virus HIV di Pakistan oleh seorang doktor menggunakan jarum suntikan yang tercemar, kata pegawai hari ini.
"Kami telah menahan seorang doktor selepas menerima aduan daripada pihak berkuasa kesihatan," kata ketua polis tempatan, Kamran Nawaz.
Nawaz mengetuai siasatan kes berkenaan yang berlaku di bandar selatan Larkana.
"Kami turut diberitahu bahawa doktor itu juga dijangkiti HIV," katanya.
Pihak berkuasa mendapat maklumat awal mengenai kes tersebut minggu lalu selepas 18 kanak-kanak dari sebuah pekan di pinggir Larkana diuji positif HIV.
Pendedahan itu mendorong pegawai kesihatan melakukan ujian saringan bagi mengenal pasti lebih ramai penduduk yang mungkin dijangkiti virus maut itu.
"Lebih daripada 90 orang diuji positif HIV dan bilangan kanak-kanak yang telah dijangkiti sekitar 65 orang," kata Dr Abdul Rehaman kepada AFP.
Sehubungan itu, pihak berkuasa menahan seorang doktor yang didakwa menggunakan jarum suntikan berkenaan untuk merawat pesakit.
Menteri Kesihatan wilayah Sindh, Azra Pechuho mengesahkan penahanan tersebut.
"Darah ibu-bapa kanak-kanak yang dijangkiti juga diuji, tetapi hasilnya negatif," ujar Pechuho. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!