Kepahlawanan Saka julang England
HATRIK Bukayo Saka membantu England mengukuhkan cengkaman Kumpulan C selepas menewaskan Macedonia Utara 7-0 dalam kelayakan Euro 2024 di Stadium Old Trafford pada Selasa sekali gus kemenangan keempat berturut-turut.
Selain tiga gol bintang Arsenal pada minit ke-38, 47 dan 51 itu, kapten The Three Lions Harry Kane turut melebarkan jaringan minit ke-29 dan 73 untuk negaranya, manakala dua gol lagi disumbangkan Marcus Rashford (minit ke 45) dan Kalvin Phillips (64).
"Ini adalah perasaan yang tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata. Tiada apa yang boleh saya katakan untuk menggambarkan kegembiraan.
"Ia adalah musim yang sangat panjang. Saya tidak boleh menamatkannya dengan cara yang lebih baik dan masa untuk berehat dan berehat.
"Kami benar-benar gembira dengan cara para penyokong berubah dalam menyatakan sokongan," kata Saka.
Sebagai rekod, Saka, 21 tahun adalah pemain Arsenal pertama yang menjaringkan hatrik untuk England dan yang termuda sejak Theo Walcott ketika menentang Croatia pada 2008.
Kemenangan England itu mencerahkan peluang pasukan tersebut menyambar slot pusingan akhir tahun depan selepas mengumpul 12 mata sempurna.
Ukraine di tangga kedua dengan enam mata selepas mengharungi tiga perlawanan diikuti Itali ketiga, dua mata kurang satu perlawanan berbanding pesaing mereka.
Dalam pada itu, pengendali England, Gareth Southgate memuji prestasi hebat Saka walaupun mengalami kecederaan achilles yang menyuramkan persembahan bersama The Three Lions.
"Dia mengalaminya selama beberapa minggu. Ia kecederaan yang hanya perlu lebih bijak untuk diuruskan. Dan apabila anda melalui perlawanan terbaik dalam hidup anda, ia adalah peringatan bahawa ia berbaloi untuk melalui perkara ini," kata Southgate semasa sidang akhbar.
Mbappe lebarkan rentak kemenangan Greece
Dalam perkembangan berasingan, bintang sensasi Perancis, Kylian Mbappe membantu Perancis mengekalkan rekod sempurna kelayakan Euro 2024 Kumpulan B dengan kemenangan 1-0 ke atas Greece yang beraksi 10 pemain di Stadium Stade de France, Saint-Denis, Paris pada Selasa.
Malah, jaringan penalti Mbappe pada minit ke-55 separuh masa kedua menyaksikan bintang kelab Ligue 1 Perancis, Paris Saint Germain (PSG) itu muncul penjaring terbaik Perancis sepanjang musim dengan 54 gol untuk kelab dan negara dalam 58 perlawanan, mengatasi Just Fontaine pada 1957-58.
Greece kendalian Gus Poyet terpaksa beraksi 10 pemain selepas Konstantinos Mavropanos dibuang padang pada minit ke-69 selepas gol Mbappe.
Gol itu juga membantu penyerang PSG tersebut menyamai pencapaian penyerang Norway dan Manchester City, Erling Haaland yang akan berpeluang menamatkan penjaring terbanyak dalam kalangan mereka yang bermain dalam lima liga teratas Eropah apabila menentang Cyprus pada Rabu.
Tiga mata diraih Les Parisian itu kendalian Didier Deschamps membolehkan naib juara Piala Dunia Qatar 2022 berkenaan mendahului Kumpulan B dengan 12 mata, enam mata di depan Greece di tempat kedua.
Anak buah Deschamps akan menentang Republik Ireland dalam perlawanan berikutnya di Stadium Parc des Princes, Paris pada 8 September depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!