Palsu tuntutan: Pemandu jabatan, rakan dan pemilik bengkel didakwa

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pemandu sebuah jabatan kerajaan dan rakannya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat dengan seorang pemilik bengkel bagi tuntutan palsu insurans kemalangan kenderaan.

Erhanhazwan Hasim, 38, dan rakannya Ali Mochammad, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Pemilik bengkel itu, Hamidah Buang, 40, juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperdayakan seorang ejen sebuah syarikat insurans mengenai borang laporan kemalangan kenderaan seorang wanita bagi tuntutan insurans berjumlah RM4,899.19 dengan mengemukakan butir matan palsu termasuk borang yang ditandatanganinya tanpa pengetahuan wanita itu.

Erhanhazwan, pemandu di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor dan Ali yang bekerja sebagai peniaga, dituduh bersubahat dengan Hamidah untuk tujuan sama.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Batu 16 Jalan Ipoh, Gombak pada 9 Mac 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin sementara Hamidah diwakili peguam Shalehuddin Salam manakala Erhanhazwan dan Ali tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 masing-masing kepada Erhanhazwan dan Ali manakala RM5,000 kepada Hamidah dengan seorang penjamin dan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM pada setiap bulan.

Sebutan semula kes bagi semua tertuduh ditetapkan 26 Julai. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!