Pertikai status Pulau Pinang bercanggah Perlembagaan Persekutuan
SHAH ALAM - Pertikaian status dan kewujudan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dianggap bercanggah dengan undang-undang tertinggi negara, Perlembagaan Persekutuan.
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan sudah jelas menyebut bahawa Pulau Pinang dan Kedah adalah negeri dalam Malaysia maka kewujudannya perlu dihormati semua pihak.
Menurutnya, biarpun terdapat perdebatan hangat dalam kalangan pensyarah yang ingin masyarakat menilai semula sejarah dan melihat kembali kepada status pemilikan sebenar Pulau Pinang, namun segala proses perdebatan itu hanya sekadar perdebatan ilmiah sahaja.
“Untuk mengubah kedudukan atau sempadan sesebuah negeri juga bukanlah satu proses mudah kerana ia memerlukan persetujuan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri yang terlibat.
“Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan Parlimen boleh melalui undang-undang menerima masuk negeri- negeri lain ke dalam Persekutuan dan mengubah sempadan negeri, tetapi undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan negeri itu (dinyatakan melalui undang-undang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri) dan Majlis Raja-Raja,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ujarnya, cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengubah kedudukan sesebuah negeri dilihat sukar dilaksanakan dan tidak realistik dengan sejarah perjalanan negara Malaysia.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah milik negeri tersebut yang mana, Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.
Muhammad Sanusi turut mendakwa, pihaknya tidak perlu mengambil kembali negeri itu kerana Pulau Pinang tidak pernah 'terlepas' dari Kedah.
Pada Ahad, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, pembentukan Malaysia tidak sepatutnya menjadi titik yang membenarkan sejarah Kedah wujud sejak sekian lama dipadamkan.
Baginda menegaskan, tidak wajar sekiranya suara rakyat negeri itu didiamkan terutama membabitkan sejarah dan kedaulatan Kedah.
"Adalah lebih baik sekiranya fakta ini dikaji secara ilmiah dan lebih tersusun supaya dapat dijadikan rujukan serta membawa kebaikan kepada generasi akan datang,” titah baginda.
ARTIKEL BERKAITAN:'Pulau Pinang itu Kedah punya' - Sanusi
Pulau Pinang tidak pernah terpisah dari Kedah
Sejarah Pulau Pinang harus diperjelas segera demi rakyat
Sewaan Pulau Pinang telah lama terbatal
Isu tanah Pulau Pinang dipajak perlu diperjelas berlandas fakta - Sultan Kedah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!