Piala FA: JDT tawar 1,000 tiket buat penyokong Selangor

Edwards memaklumkan peruntukan 1,000 tiket buat penyokong Selangor FC. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
Edwards memaklumkan peruntukan 1,000 tiket buat penyokong Selangor FC. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
A
A
A

KELAB Johor Darul Ta'zim (JDT) memaklumkan khabar gembira buat penyokong Selangor apabila menawarkan 1,000 tiket untuk menyaksikan aksi separuh akhir Piala FA kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif, Alistair Edwards berkata, peruntukan itu ada atas dasar semangat kesukanan bagi memeriahkan suasana saingan Piala FA dan jumlah tiket itu adalah seperti yang dipohon pengurusan Selangor FC.

“Ia atas dasar semangat kesukanan. Diharapkan lebih ramai penyokong pasukan pelawat hadir untuk menikmati suasana stadium yang diiktiraf dunia.

“Ia juga peruntukan tiket untuk penyokong pasukan pelawat tertinggi pernah diberikan bagi menyaksikan perlawanan di stadium yang serba canggih ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers.

SSI dipilih sebagai `2020 World Stadium of the Year' tiga tahun lalu.

Menurut Edwards, sebelum ini tiket terbanyak yang ditawarkan kepada penyokong pasukan pelawat adalah sebanyak 800 keping.

Pertembungan skuad Harimau Selatan dan Gergasi Merah bakal menyaksikan kapasiti penuh ketika JDT selaku juara bertahan memburu slot ke pentas final bagi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada musim lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!