Pemilik restoran ditengking enggan guna perkhidmatan
SEREMBAN - Hanya kerana enggan menyelenggara alat pemadam api dengan dua lelaki yang menyediakan perkhidmatan itu, seorang pemilik restoran di Medan Perdagangan Kepayang di sini mendakwa dia dimarahi.
Kejadian pada Isnin itu turut menyebabkan mangsa Lee Wai Peng, 49, bimbang akan keselamatannya kerana lelaki terbabit dilihat seolah-olah berlagak ala gangster.
Menceritakan kejadian, Wai Peng berkata, mereka yang dilihat berusia lingkungan 20-an dan 40-an datang ke restorannya memberitahu dari sebuah syarikat membekal dan menyelenggara alat pemadam api.
"Mereka minta untuk memperbaharui alat pemadam api di restoran saya yang telah hampir tamat tempoh.
"Bila saya beritahu telah memperbaharuinya dengan syarikat lain, mereka seperti gangster memarahi sambil menengking saya sehingga menakutkan pelanggan yang ada waktu itu,"katanya pada sidang akhbar bersama Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon pada Selasa.
Malah katanya, lelaki terbabit turut memberitahu penyelenggaraan alat pemadam api di kawasan Bukit Kepayang di bawah kuasa mereka.
Wai Peng bagaimanapun mempertahankan dirinya dengan menjelaskan, menjadi haknya untuk menggunakan perkhidmatan sesiapa yang diingini.
"Selepas itu mereka tunjukkan isyarat tangan sambil berkata 'u jaga tau'. Mereka seolah-olah mengugut saya.
"Sepanjang 10 tahun berniaga, ini pertama kali saya berdepan kes sebegini," ujarnya.
Sementara itu, Tan Lee Koon menasihatkan pemilik premis yang berdepan insiden sama agar tampil membuat laporan polis.
Ujarnya, tidak sepatutnya kontraktor yang menyediakan perkhidmatan itu memaksa pemilik premis menggunakan perkhidmatan mereka.
"Kalau ada keraguan boleh semak senarai syarikat kontraktor yang diberi tauliah dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!