Kereta masuk tali air, pengedar dadah ditahan polis

Dua anggota polis mengeluarkan suspek dari keretanya dalam tali air di Kampung Alor Besar, Alor Setar pada petang Isnin. - Foto PDRM
Dua anggota polis mengeluarkan suspek dari keretanya dalam tali air di Kampung Alor Besar, Alor Setar pada petang Isnin. - Foto PDRM
A
A
A

PENDANG - Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah dicekup polis selepas kereta suspek hilang kawalan dan terbabas ke dalam tali air Kampung Alor Besar, dekat sini pada petang Isnin.

Suspek berusia awal 30-an itu sebelum itu cuba melarikan diri selepas terserempak dengan sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang di kawasan tepi jalan Kampung Batu Menunggul, dekat sini pada jam 6.30 petang.

Menurut Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superitendan Arriz Sham Hamezah, pasukan polis yang menjalankan tugas Op Tapis Khas Kontinjen Kedah 2.0 kemudiannya terus mengejar suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih.

"Sebaik sahaja sampai di persimpangan tiga jalan mini tar Kampung Alor Besar, kereta suspek telah hilang kawalan dan terbabas ke dalam tali air Kampung Alor Besar.

"Pasukan Polis terus bertindak dengan turun dari kenderaan yang dinaiki dan masuk ke dalam tali air tersebut untuk mengeluarkan suspek yang masih berada dalam keretanya.

"Setelah berjaya membawa suspek dengan selamat ke atas tebing tanah dan pemeriksaan terhadap suspek dapati tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang undang. Pemeriksaan fizikal juga dapati suspek tidak mempunyai sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelas Arriz Sham, suspek telah dibawa ke IPD Pendang untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu merupakan seorang pengedar dadah yang aktif di kawasan daerah Pendang sejak setahun yang lalu.

"Suspek telah ditangkap untuk siasatan lanjut di bawah seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985)," ujar beliau lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!