'Guna ekzos bising demi kepuasan'

Antara penunggang yang diperiksa dalam Op Bersepadu di hentian rehat dan rawat (R&R) Seremban pada Sabtu. Gambar kecil: Mat Kasim
Antara penunggang yang diperiksa dalam Op Bersepadu di hentian rehat dan rawat (R&R) Seremban pada Sabtu. Gambar kecil: Mat Kasim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahu tarik perhatian penunggang motosikal lain dan ingin kepuasan antara alasan pemilik motosikal yang mengubah suai motosikal menggunakan ekzos bising.

Kesemua penunggang itu bagaimanapun ditahan menerusi Op Bersepadu yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman di hentian rehat dan rawat (R&R) Seremban, Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, operasi pada jam 11 malam itu turut dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Polis telah mengeluarkan 186 saman kepada penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan.

"Kesalahan dikesan ialah nombor plat (61), cermin sisi (35), aksesori tidak sempurna (32), tiada lesen memandu (17), tidak pamer pelekat L/P (8) dan lain-lain kesalahan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambah Mat Kasim, operasi yang tamat pada jam 3 pagi itu turut menyita 16 motosikal atas kesalahan ubah suai ekzos.

Polis telah mengeluarkan 186 saman kepada penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan dalam Op Bersepadu di hentian rehat dan rawat (R&R) Seremban pada Sabtu.
Polis telah mengeluarkan 186 saman kepada penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan dalam Op Bersepadu di hentian rehat dan rawat (R&R) Seremban pada Sabtu.

Katanya, motosikal yang disita membabitkan jenis Yamaha iaitu LC135, Y15, RXZ, Lagenda dan 125Z.

"Alasan yang diberi penunggang kerana ubah suai ekzos adalah kerana pengaruh rakan sebaya untuk menambahkan kelajuan, mahu menarik perhatian penunggang motosikal yang lain serta ingin mendapat kepuasan diri sendiri," ujarnya.

Selain itu, kata beliau, pihak JAS turut mengeluarkan 13 kompaun kepada penunggang motosikal atas kesalahan bunyi bising.

"Motosikal yang disita telah dibawa me Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk tindakan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!