Rohana Jalil dalam keadaan lemah - Haiza

Penyanyi Rohana Jalil masih menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di ibu negara.
Penyanyi Rohana Jalil masih menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di ibu negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyanyi popular era 1980-an, Rohana Jalil, 68, dilaporkan dalam keadaan lemah.

Perkembangan terbaharu itu dikongsi oleh salah seorang teman rapatnya, Haiza Hanafi kepada Astro Awani hari ini.

"Sejak Ahad lalu ketika saya datang melawat, memang keadaan dia lemah.

"Tetapi dia boleh dengar bila saya bisik di telinga dia. Haiza beritahu dia datang (melawat), dia angguk," kata penyanyi lagu Dag Dig Dug itu.

Haiza atau nama sebenar, Rohaizah Nordin menambah juara Bintang RTM 1980 itu masih menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di ibu negara.

Bagaimanapun, ujarnya Rohana sudah tidak dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Pada April lalu, Rohana yang juga pelantun lagu Rayuanku dilaporkan kritikal dan dimasukkan ke ICU akibat kebocoran pada usus.

Sementara pada 23 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan menziarahi penyanyi veteran itu.

Rohana atau nama sebenarnya, Dara Abdul Jalil memulakan karier sebagai penyanyi sejak usia 17 tahun pada 1979.

Berbekalkan pengalaman menyanyi ekspo dan fun fair, penyanyi kelahiran Kota Tinggi, Johor itu mencuba nasib dalam pertandingan Bintang RTM 1976, tetapi tuah tidak menyebelahinya.

Dengan bakat dan kesungguhannya, Rohana kemudian dinobatkan sebagai juara Bintang RTM 1980, sebelum dilamar syarikat rakaman, AB Records.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, penyanyi terkenal, Datuk Francissca Peter berkongsi doa dan harapan agar rakan seangkatannya itu diberi kesembuhan.

Francissca secara peribadi berkongsi kesedihan dengan perkembangan kesihatan Rohana.

"Saya sangat berharap dan berdoa agar dia cepat sembuh. Semoga Tuhan menyembuhkan Rohana dan memberi kekuatan kepada keluarga dan orang yang tersayang serta membantunya pada ketika ini. Mari kita sama-sama berdoa untuk Rohana Jalil," tulis Francissca dalam hantaran di akaun Instagram peribadinya. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!