JPJ akan panggil pemilik McLaren bantu siasatan
KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memanggil pemilik kereta mewah, McLaren yang didakwa menggunakan nombor pendaftaran lain seperti tular di media sosial, baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Erick Jusiang berkata, pihaknya akan mengarahkan notis panggilan temu siasat dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan itu bagi membantu siasatan.
"Kita telah melakukan semakan dan mendapati data kereta McLaren itu tidak sama dalam sistem mySIKAP.
"Kita akan mengeluarkan notis tersebut terhadap pemilik kenderaan itu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ WPKL, di sini pada Selasa.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan suami kepada pelakon Fatin Afeefa, iaitu Aliff Awang tampil bersuara untuk menjelaskan kekecohan yang timbul berhubung nombor plat yang digunakan di kereta mewah McLaren yang dikatakan bukan nombor sebenar.
Menerusi Instagram Story, Aliff atau lebih mesra disapa Opai berkata, dia tidak menerima sebarang panggilan atau surat daripada JPJ seperti yang didakwa sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!