[VIDEO] Sejarah Kedah: 'Ada perkara tidak diselesaikan British' - Mahdzir

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

ALOR SETAR - UMNO Kedah menjunjung titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berhubung sejarah kedudukan Kedah dan Pulau Pinang.

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, berdasarkan titah baginda, beliau menyifatkan masih ada urusan yang belum selesai melibatkan sejarah penjajahan British dan negeri tersebut.

"Sebagai rakyat Kedah dan juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Barisan Nasional negeri, saya menjunjung titah Tuanku pada Hari keputeraan Tuanku (yang ke-81) adalah ucapan yang lahir dari hati Tuanku.

"(Ia) berkaitan dengan sejarah negeri Kedah yang panjang dan mengambil daripada titah ucapan baginda menunjukkan Tuanku sangat memahami bahawa fakta sejarah di Kedah ini khususnya dalam sejarah Kedah tua sehinggalah kepada zaman penjajahan British.

"Ada perkara yang saya boleh tafsirkan 'unfinish business', yang tidak diselesaikan oleh British," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel dekat sini pada Selasa.

Pada Ahad, Sultan Sallehuddin bertitah, pembentukan Malaysia tidak sepatutnya menjadi titik membenarkan sejarah Kedah yang wujud sekian lama dipadamkan.

Baginda bertitah, perbincangan mengenai sejarah Kedah di pelbagai platform mulai subur sejak akhir ini di segenap lapisan masyarakat, terutamanya membabitkan kedudukan negeri itu dan Pulau Pinang.

Sultan Sallehuddin menegaskan, adalah tidak wajar sekiranya suara rakyat negeri itu didiamkan terutama membabitkan sejarah dan kedaulatan Kedah.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Kedah tidak mempunyai sempadan dengan Pulau Pinang berikutan ia milik Kedah.

Dakwaan Muhammad Sanusi menyebabkan pelbagai pihak termasuk pimpinan Pakatan Harapan membuat laporan polis berikutan kenyataan itu didakwa meragui kedaulatan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!