PSM yakin pertahan emas di Sukan Asia
PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) yakin mampu mempertahankan pingat emas acara regu lelaki di Sukan Asia 2022 yang dijadualkan pada 23 September hingga 8 Oktober di Hangzhou, China.
Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, prestasi dipamerkan skuad negara pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh bulan lepas yang berjaya menewaskan musuh tradisi Thailand, menjadi kayu pengukur untuk menetapkan sasaran emas itu.
“Kali ini kami akan cuba sedaya upaya kekalkan emas (Sukan Asia)... bila lihat acara regu berpasukan (Sukan SEA) regu pertama dapat kalahkan regu pertama Thailand namun nasib tidak menyebelahi kita (tewas dua perlawanan berikutnya),” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat pemilihan atlet dan pegawai ke Sukan Asia 2022 di Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kuala Lumpur pada Selasa.
Pada Sukan SEA 2023, skuad sepak takraw negara bermula cemerlang apabila regu yang dibarisi Amirul Zazwan Amir, Mohamad Azlan Alias dan Mohammad Syahir Mohd Rosdi menewaskan Jirasak Pakbuangoen, Kritsanapong Nontakote dan Yodsawat Uthaijaronsri 13-21, 21-17, 21-18 pada perlawanan pertama.
Bagaimanapun, kecemerlangan regu pertama negara itu gagal diteruskan dua lagi regu sekali gus menyaksikan Thailand menang 2-1.
Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas menundukkan Kemboja 3-0.
Pada masa sama Mohd Sumali berkata, PSM menyasarkan pingat perak bagi acara regu berpasukan lelaki.
Pada edisi 2018 di Indonesia, skuad negara dibarisi Syahir Rosdi, Zulkifli Abdul Razak, Norhaffizi Abdul Razak, Farhan Adam dan Azlan Alias menamatkan kemarau emas sepak takraw selama 24 tahun selepas menewaskan tuan rumah di pentas akhir.
Sementara itu, Mohd Sumali tidak menolak kemungkinan PSM akan mengekalkan 70 hingga 80 peratus pemain yang disenaraikan di Sukan SEA 2023 untuk menggalas cabaran negara di Sukan Asia kali ini.
Namun katanya, peluang masih terbuka bagi pemain lain untuk disenaraikan dan pihak kejurulatihan akan menilai prestasi pemain yang beraksi di Liga Sepak Takraw (STL) serta Piala Raja Thai, bulan depan.
Bagi skuad wanita pula jelas Mohd Sumali, PSM bercadang untuk menghantar pemain beraksi dalam acara regu dan kuadran.
Menurutnya, MOM telah menetapkan tarikh akhir penyerahan nama pemain ke Sukan Asia 2022 pada 15 Julai. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!