Padah tunggang motosikal tanpa sebarang dokumen
KUALA LUMPUR - Tindakan seorang lelaki etnik Rohingya bersama anak perempuannya menunggang motosikal tanpa sebarang dokumen yang sah mengundang padah apabila ditahan dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing (Ops Pewa) di sini, pada Selasa.
Lelaki berusia 40-an itu yang membonceng anak perempuan berusia lapan tahun dalam keadaan tangan berbalut mendakwa anaknya patah tangan selepas terjatuh ketika bermain di taman permainan.
Lelaki itu turut mendakwa kali pertama menunggang motosikal dipinjam daripada rakannya untuk membawa anaknya itu ke klinik bagi rawatan susulan.
"Saya mahu hantar anak ke klinik, motosikal itu saya pinjam daripada rakan," katanya.
Dua beranak itu antara 54 warga asing yang ditahan dalam Op Pewa dijalankan bermula jam 8 pagi hingga 2 petang.
Sebanyak 207 notis atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dalam operasi yang dilaksanakan di Kepong dan Batu Muda dekat sini pada Selasa.
Timbalan Pengarah JPJ WPKL, Erick Jusiang berkata, operasi itu diadakan berdasarkan risikan setelah mendapati pelbagai kesalahan dilakukan pemandu warga asing terutama bagi kesalahan tidak memiliki lesen memandu dan pelbagai kesalahan lain.
"Kita memfokuskan kepada kenderaan perdagangan seperi lori sampah, lori barangan, lori ‘Roro’, motosikal roda tiga serta kenderaan milik warga tempatan yang disewa dan yang dikendalikan oleh warga asing untuk aktiviti perniagaan.
"Dalam operasi itu, kita telah menyita 15 lori, 22 motosikal dan masing-masing sebuah kereta serta forklif telah disita," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ WPKL, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, warga asing yang tidak memiliki lesen memandu dan lesen kenderaan barangan akan dikenakan tindakan dibawah Seksyen 26(1) (Lesen-lesen memandu) dan Seksyen 57 (Lesen vokasional) bagi kenderaan barangan dan kenderaan pekerja) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"JPJ WPKL menegaskan kepada semua pemilik kenderaan berdaftar agar tidak membenarkan warga asing memandu kenderaan milik mereka tanpa lesen dan menyalahgunakan lesen kenderaan motor (LKM) bagi tujuan perniagaan," katanya.
Beliau berkata, operasi tersebut turut melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia.
"Jabatan Imigresen Imigresen turut menahan 54 warga asing berumur antara 35 dan 45 tahun atas beberapa kesalahan Imigresen.
“Mereka yang ditahan ialah 13 warga Bangladesh, 10 warga Pakistan, 10 warga India, 12 warga Myanmar dan sembilan warga Indonesia. Mereka telah dibawa ke ibu pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut,” katanya.
Erick berkata, pihaknya telah melakukan sebanyak 11 Ops PeWA sejak Januari sehingga Jun lalu.
“Sepanjang operasi ini dilaksanakan, sebanyak 1,513 pemeriksaan kenderaan telah dilakukan, 231 kenderaan telah diambil tindakan dan sejumlah 564 notis telah dikeluarkan yang melibatkan pemandu warga asing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!