Kedudukan Islam tidak terancam, kata Muhyiddin
Muhyiddin berkata, tidak wajar hanya satu dua kes yang berlaku dan kemudiannya rakyat menggambarkan Islam di negara ini terancam.
"Saya tak rasa Islam terancam di negara ini. Islam adalah agama anutan saya dan saya buat apa yang terbaik.
"Dasar PH menerusi kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tidak berganjak sejak awal lagi," katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya, PH menandatangani dan memeterai perjanjian bersama ketika membentuk kerajaan bahawa akan terus mendokong apa yang ada dalam Perlembagaan Negara.
"Dan saya tidak akan reda melihat jika ada usaha untuk merobek kedudukan Islam dalam apa cara sekalipun.
"Jadi saya tidak faham kenapa ada yang akan mudah membangkitkan sentimen marah seolah-olah kerajaan hari ini tidak melindungi Islam.
"Saya tak percaya, itu tanggapan yang betul tapi itu adalah tipu muslihat (pihak tertentu) untuk menggambarkan bahawa kerajaan hari ini lemah. Tidak memberi apa-apa perlindungan kepada agama Islam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam, anjuran beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang dijadualkan berlangsung esok di ibu negara.
Menurutnya lagi, agak menghairankan apabila penganjur melakukan perhimpunan itu kononnya atas pandangan mereka bahawa kedudukan Islam terancam.
"Jadi itu perhimpunan untuk memprovokasi sedangkan negara kita selamat. Kita berpegang kepada apa yang sudah pun termaktub dalam Perlembagaan Negara.
"Saya fikir sejak dulu sehingga sekarang tidak ada bukti yang menunjukkan Islam terabai atau tidak diberi apa-apa perhatian ataupun institusi agama Islam yang telah terbentuk sudah diruntuhkan oleh PH," katanya.
Muhyiddin berkata, pihaknya percaya perhimpunan itu hanya sebagai satu lagi gimik politik.
"Mereka tak ada modal lagi, buat begitu supaya atas dasar agama, maka akan ada orang yang terikut-ikut.
"Sedangkan hakikat tidak begitu. Kalau mereka betul-betul berjuang untuk Islam, kenapa bila isu Tabung Haji (TH) timbul dengan hutang dan kerugian yang banyak, di mana mereka, apa mereka buat?," katanya.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam itu boleh diadakan jika penganjur patuh dengan peraturan undang-undang perhimpunan aman.
"Namun kita nak ingatkan supaya tidak timbul apa-apa masalah. Penganjur mesti menjamin keadaan yang sentiasa aman sepanjang himpunan berkenaan," katanya.
Menurut laporan media, perhimpunan berkenaan diadakan bagi menyatakan hasrat rakyat yang tidak selesa dan tergugat dengan tindakan pelbagai pihak terhadap kedaulatan Islam yang dijamin dalam Perlembagaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!