Khazanah tidak terlibat rundingan Kidzania Singapura - Sim Leisure

Choo Kheng - Foto EdgeProp.my
Choo Kheng - Foto EdgeProp.my
A
A
A

SHAH ALAM - Pemaju dan pengendali taman tema tersenarai di Singapura, Sim Leisure Group menjelaskan bahawa Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) tidak pernah terlibat dalam rundingan melibatkan pembelian aset KidZania Singapura.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Sim Leisure, Datuk Sim Choo Kheng berkata, kumpulan itu sebaliknya melakukan urusan tersebut melalui prosedur pelikuidasi secara langsung.

“Khazanah tidak pernah terlibat dalam proses (pembelian) itu. Memandangkan aset itu berada di tangan pelikuidasi Singapura, semua urusan Sim Leisure Group adalah melalui pelikuidasi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, ujar Choo Kheng, Sim Leisure Group mengambil risiko besar berkaitan dengan bidaan aset berkenaan susulan tidak dapat memeriksanya secara fizikal kerana negara itu berada dalam sekatan dan mereka tidak boleh melakukan perjalanan, jadi keadaan aset KidZania Singapura dan kos pengubahsuaiannya tidak diketahui pada masa itu.

“Sim Leisure Group masih perlu mendapatkan pajakan daripada pemilik bangunan, Sentosa Development Corporation. Tanpa pajakan, aset itu akan menjadi berlebihan.

“Memandangkan aset tersebut adalah aset tidak alih, ia tidak boleh dipindahkan ke bangunan lain dan oleh itu hanya mempunyai satu kegunaan.

Menurutnya, Sim Leisure Group masih perlu mendapatkan perjanjian lesen daripada pemberi lesen KidZania Mexico.

“Masih terdapat ketidakpastian besar pada masa berapa lama Covid-19 akan bertahan. Akibat daripada perkara di atas pelaburan yang dibuat ke dalam aset mungkin tidak pernah direalisasikan,” ujarnya.

Khazanah dan Boustead Holdings Bhd dilaporkan telah menjual KidZania Singapore yang telah ditutup operasi perniagaannya kepada Sim Leisure Group Ltd yang disenaraikan di Singapura pada harga S$110,000.

KidZania Singapore, yang dibuka pada April 2016 di Pulau Sentosa, Singapura, ditutup pada 2020, selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

Theme Attractions Resorts and Hotels Sdn Bhd (TARH), anak syarikat Khazanah, memiliki 80 peratus pegangan dalam Rakan Riang Pte Ltd (Rakan Riang Singapore), yang mengendalikan Kidzania menerusi usaha sama dengan Boustead Curve - anak syarikat Boustead Holdings.

Dipercayai bahawa Khazanah dan Boustead pada awalnya menyuntik sebanyak SG$48 juta (RM165.52 juta) ke dalam projek tersebut.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan mesyuarat bersama pengurusan Khazanah Nasional Bhd berhubung penjualan Kidzania Singapore pada harga yang terlalu rendah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!