Hafidz Roshdi sahkan hanya sekali lafaz cerai terhadap Shuhada

Gambar dari kiri: Hafidz Roshdi, Shuhada
Gambar dari kiri: Hafidz Roshdi, Shuhada
A
A
A

SHAH ALAM – Pelakon, Hafidz Roshdi membuat penafian di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Selasa, bahawa dia telah membuat dua lafaz cerai terhadap isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29.

Sebaliknya, pelakon drama ‘Tundukkan playboy itu’ berkata, hanya satu lafaz talak dibuat kepada Shuhada selaku defendan, pada Februari lalu.

Semasa memberi keterangan di hadapan hakim syarie, Siti Rahmah Hussin dalam prosiding pengesahan lafaz cerai, Hafidz atau nama sebenarnya, Muhammad Hafidz Roshdi, 29, selaku plaintif berkata, cerai itu dibuat dalam keadaan waras dan sihat berserta niat.

“Saya menafikan telah menceraikannya pada jam 12.29 tengah hari, 22 Januari kerana lafaz cerai menggunakan WhatsApp itu bukan menggunakan nombor atau telefon bimbit saya.

“Hanya satu perkataan cerai terhadap defendan dibuat melalui panggilan telefon iaitu ‘saya ceraikan awak talak satu, Nurul Shuhada Mat Shukri’ pada jam 11.40 malam 22 Februari lalu," katanya.

Dalam prosiding tersebut, Hafidz diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan balas oleh peguam syarie, Nurfarhana Abd Manaf yang mewakili defendan mencadangkan, telefon bimbit Hafidz hilang bermula 22 Januari hingga 3 Februari lalu.

Hafidz: Tidak setuju.

Nurfarhana: Encik telah gunakan telefon adik untuk berkomunikasi dengan Shuhada.

Hafidz: Tidak setuju.

Nurfarhana: Encik tahu, ‘WhatsApp’ menggunakan nombor telefon itu milik siapa?

Hafidz: Milik adik saya.

Nurfarhana: Berapa umurnya?

Hafidz: 12 tahun.

Sementara itu, hakim syarie menasihati Hafidz supaya berkata benar memandangkan isu lafaz cerai merupakan hukum ALLAH.

Hakim syarie: Ini menyentuh hukum ALLAH, jadi encik nafikan mesej itu daripada encik?

Hafidz: Saya nafikan.

Hakim syarie: Ini berkenaan hukum syarak, kita kena adil, jika disabitkan jatuh talak, maka terputuslah hubungan, encik kena bercakap benar, jadi ‘WhatsApp’ itu bukan daripada encik?

Hafidz: Betul, bukan daripada saya.

Sementara itu, Shuhada mengulangi pendirian bahawa suaminya itu telah menceraikannya sebanyak dua kali iaitu pada 22 Januari menerusi aplikasi 'WhatsApp' sementara pada 22 Februari lalu menggunakan panggilan telefon.

Semasa pemeriksaan balas oleh Nurfarhana, Shuhada berkata, dalam lafaz pertama, Hafidz menaip "saya lepaskan awak" menggunakan telefon lain.

Dia yang pernah mengusahakan perniagaan biskut berkata, suaminya itu menggunakan ‘WhatsApp’ orang lain kerana telefonnya hilang.

“Saya telah mengesahkan perkara itu selepas berhubung dengan adik perempuan Hafidz.

“Saya dan suami telah berkomunikasi bermula 2 Januari hingga 3 Februari dengan menggunakan telefon adiknya, bukan sahaja menerusi mesej malah menggunakan panggilan telefon,” kata ibu kepada dua anak itu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 27 Julai depan bagi keputusan pengesahan lafaz cerai pasangan tersebut.

Sebelum ini, Nurul Shuhada mendakwa Hafidz telah melafazkan cerai sebanyak dua kali iaitu pada 22 Januari dan 22 Februari lalu.

Pada 22 Februari, Hafidz dipercayai melafazkan cerai menerusi panggilan telefon terhadap Nurul Shuhada di hadapan ahli keluarganya.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, tiga tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!