RTG jambatan Tze Yong rebut slot Olimpik

Penyenaraian dalam program RTG menyuntik semangat Tze Yong untuk merebut slot ke Sukan Olimpik Paris 2024. - Foto Badminton Photo.
Penyenaraian dalam program RTG menyuntik semangat Tze Yong untuk merebut slot ke Sukan Olimpik Paris 2024. - Foto Badminton Photo.
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang baru disenaraikan dalam program Road To Gold (RTG) bertekad untuk 'mencuri' satu daripada dua slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Tze Yong mahu memanfaatkan peluang tersebut bagi memastikan Malaysia memiliki dua wakil perseorangan lelaki di Paris nanti bersama pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia yang turut berada dalam RTG.

“Saya perlu mara sekurang-kurangnya ke pusingan suku akhir dan separuh akhir pada kejohanan akan datang untuk berada dalam kelompok 16 teratas dunia bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

“Sudah tentu harapan supaya saya dan Zii Jia dapat layak ke Olimpik kerana peluang lebih besar jika ada dua wakil. Bagaimanapun, saya percaya ia bukan perkara mudah kerana semua pemain pun akan bersaing untuk ke Olimpik,” katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Selasa.

Jawatankuasa RTG pada Isnin mengumumkan Tze Yong serta beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dimasukkan dalam program tersebut bagi membantu mereka dalam saingan kelayakan ke Olimpik.

Tze Yong yang menghuni ranking ke-21 dunia berkata, bantuan yang akan diterimanya selepas ini lebih spesifik bagi membantu dia melakukan proses pemulihan, berbeza berbanding dengan perkhidmatan terdahulu.

“Secara jujur, saya tidak sangka dapat masuk dalam RTG kerana sebelum ini mereka kata perlu berada dalam ranking 10 teratas dunia. Saya akan dapat lebih banyak bantuan untuk bantu saya layak ke Olimpik.

“Saya akan menerima khidmat sokongan spesifik daripada segi fisioterapi termasuk tukang urut. Sebelum ini, kadang-kadang ia (bantuan) tidak pasti apabila kurang orang pergi (kejohanan).

“Apabila masuk RTG, akan dapat kelebihan ini. RTG ada pasukan (sokongan) sendiri dan akan pergi ke setiap kejohanan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!