RM3.5 juta diperlukan atasi banjir kilat di Kem PGA

Muhamad Arafat (kiri) meninjau keadaan kolam tadahan di Pusat Latihan PGA Ulu Kinta pada Selasa.
Muhamad Arafat (kiri) meninjau keadaan kolam tadahan di Pusat Latihan PGA Ulu Kinta pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Susulan banjir kilat yang melanda Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta di sini sejak beberapa tahun, sejumlah RM3.5 juta diperlukan bagi menaik taraf longkang sedia ada.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, tahun ini merupakan banjir kilat paling buruk pernah berlaku apabila dua kali terjadi bencana itu iaitu pada Februari dan awal Jun lalu.

Menurutnya, disebabkan itu, RM300,000 terpaksa diperuntukkan bagi membaik pulih kemudahan dewan yang mengalami kerosakan akibat banjir itu selain padang kawat turut digenangi air.

"Kita dapati puncanya disebabkan kolam tadahan yang semakin cetek. Sepatutnya kedalamannya 3 meter tetapi kini tinggal 1 meter sahaja disebabkan tanah merah dan sedimen yang masuk ke kolam ini.

"Penyelesaian jangka panjang yang kita bincang adalah membesarkan longkang sejauh 1 km melibatkan kos RM3.5 juta manakala untuk jangka pendek, kita akan dalamkan kolam tadahan ini sebanyak dua kali setahun," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau kolam tadahan di Pusat Latihan PGA Ulu pada Selasa.

Muhamad Arafat berkata, cadangan penyelesaian jangka panjang itu akan mengambil masa dan memerlukan kelulusan Kementerian Dalam Negeri setelah cadangan tersebut dikemukakan oleh pihak JPS.

Menurutnya, bagi kerja-kerja mendalamkan kolam itu pula akan menelan belanja RM400,000 setahun sementara menunggu kelulusan projek naik taraf longkang tersebut.

Jelasnya, kolam tadahan tersebut menjadi cetek disebabkan kerja-kerja pembangunan yang sedang berjalan di kawasan berhampiran.

Beliau berkata, selaku wakil rakyat, pihak akan berhubung dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk menyegerakan kelulusan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!