Guru ketumbuhan otak terima faedah Perkeso

Fadhilah ketika meluangkan masa melawat Norzilah di rumahnya.
Fadhilah ketika meluangkan masa melawat Norzilah di rumahnya.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang guru wanita yang menderita sakit ketumbuhan otak lebih tujuh tahun lalu tidak menyangka mendapat faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Suaminya, Zailani Sabtu, 54, berkata, isterinya Norlizah Taib, 50, yang sebelum ini mengajar sebagai guru Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berstatus kontrak selama 20 tahun, mempunyai ketumbuhan dalam otak sehingga lemah dah tidak mampu berdikari mahupun menguruskan diri sendiri.

Menurutnya, sepanjang isterinya sakit, dia juga tidak mengetahui mengenai caruman Perkeso sebelum dimaklumkan oleh seorang rakan berhubung caruman tersebut.

"Memang saya tidak pernah tahu berkaitan sebarang bentuk caruman itu dan rakan yang mencadangkan saya membuat semakan di Perkeso.

"Disebabkan kesakitan itu juga kesihatannya semakin merosot dan hanya terlantar selama tiga tahun, kemudian saya berhubung dengan Perkeso pada 3 Oktober tahun lalu," katanya.

Zailani berkata demikian selepas mewakili isterinya menerima pencen ilat sebanyak RM1168.75 dan elaun layanan sentiasa (ELS) RM500, setiap bulan daripada Perkeso yang disampaikan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab yang juga Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, di bangunan Perkeso Melaka Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh di sini hari ini.

Zailani (kanan) menerima replika cek yang disampaikan Mohd Sofi dan diperhatikan Fadhilah (dua dari kanan) dan Md Azhan (kiri) pada majlis penyerahan itu.
Zailani (kanan) menerima replika cek yang disampaikan Mohd Sofi dan diperhatikan Fadhilah (dua dari kanan) dan Md Azhan (kiri) pada majlis penyerahan itu.

Hadir sama Pengarah Perkeso negeri, Fadhilah Hamil dan Pengarah JAIM, Md Azhan Samat.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dia bersyukur mendapat bantuan menerusi agensi berkenaan bagi meringankan beban terutama menampung kos perubatan isteri.

Sementara itu Mohd Sofi berkata, kerajaan negeri prihatin dengan nasib rakyat termasuk golongan kakitangan berstatus kontrak dengan memastikan kebajikan dan keselamatan terjamin.

"Kita mahu kakitangan awam mahupun pekerja di negeri ini faham apakah hak mereka dan mahu mereka mahupun majikan di negeri ini, sedar betapa pentingnya caruman Perkeso," katanya.

Dalam pada itu Mohd Sofi turut menyampaikan cek kepada empat lagi bekas kakitangan berstatus kontrak JAIM yang menerima Faedah Pencen Penakat dengan jumlah keseluruhan pembayaran RM120,060.49.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!